Wanita bijak utamakan isu yang lebih utama

- Advertisement -

SEJAK semalam, media sosial penuh dibanjiri dengan respons terhadap wanita #bodohsikit. Apabila diteliti, kenyataan asal itu masih terbuka kepada interpretasi yang berbeza, bergantung kepada konteks yang ingin disampaikan oleh penyampainya. 

Boleh jadi ada kesilapan apabila ia dikaitkan dengan persoalan jodoh, dan saya yakin perkara ini telah ditegur dan diperbetul oleh ramai agamawan dan asatizah dengan hujah-hujah daripada al-Quran dan Hadis.

- Advertisement -

Kemarahan terhadap kenyataan tersebut mungkin ada asasnya. Namun, apa yang lebih menggusarkan saya pada waktu ini adalah tahap kesedaran masyarakat mengenai bulan Jun sebagai bulan ‘Pride’ kepada golongan LGBTQ.

Bulan ini sepertinya bulan perayaan untuk mereka meraikan ‘perbezaan’ nafsu dan aktiviti mereka kepada dunia. Ditambah pula dengan ‘influencer’ dua alam yang menyasarkan aksi jelik dan tidak sopan kepada anak-anak bawah umur, saya tertanya-tanya kenapa kemarahan yang sama tidak dilampiaskan seperti dalam isu wanita #bodohsikit?

Keadaan manakah sebenarnya yang patut dianggap sebagai suatu masalah besar yang harus ditangani dan diselesaikan? Seandainya lebih ramai para lelaki dan wanita, yang bujang, mahupun yang sudah berkahwin, boleh mengambil peranan dalam isu ini, lebih ramai anak muda yang boleh diselamatkan daripada terpengaruh dengan agenda normalisasi budaya songsang dan lucah ini.

Bersuaralah dengan lebih vokal untuk isu yang lebih utama. Buktikan bahawa kalian semua adalah wanita bijak, yang mengutamakan isu utama yang lebih berbahaya dan membawa masalah kepada pemikiran dan akhlak masyarakat. 

Insya-Allah, di peringkat agensi-agensi agama Persekutuan, kita mengambil serius akan isu ini. Doakan semoga pelan dan program yang telah dan bakal dirangka dapat memberi pengaruh dan impak yang besar kepada anak remaja Muslim kita.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
10 Jun 2021M / 29 Syawal 1442H – HARAKAHDAILY 10/6/2021

*Gambar ini diambil sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

- Advertisement -