LGBTQ: Ulamak PAS S’gor sokong pendirian kerajaan

Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyokong penuh pendirian kerajaan Malaysia yang menolak dasar luar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) yang mahu mempromosikan hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di seluruh dunia.

Menurut Ketuanya, Ustaz Rizuan Rahmat, LGBTQ secara dasarnya adalah menyalahi fitrah manusia dan bertentangan dengan tuntutan dan syariat Islam.

Katanya, beliau mewakili DUPNS menyokong penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengatakan Malaysia tidak akan menyokong sebarang kempen yang dilabelkan LGBTQ di negara ini.

- Advertisement -

Perkara tersebut kata Dr Zulkifili, diterima pakai oleh semua budaya dan masyarakat majmuk di Malaysia.

“DUPNS mengecam hasrat Presiden AS, Joe Biden yang mahu memperomosikan LGBTQ di seluruh dunia sekaligus mengabaikan pandangan dan tuntutan Islam.

“Perkara ini tidak selari dengan negara-negara Islam yang secara nyata tidak menyokong LGBTQ dan tindakan Biden ketika ini adalah tidak menghormati agama lain,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily pada Selasa.

Sementera itu kata Ustaz Rizuan, ketegasan Malaysia berhubung isu ini menggambarkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas menolak sebarang elemen atau usaha mengiktiraf LGBTQ yang bertentangan dengan agama.

Beliau dalam masa sama berharap Rang Undang-Undang (RUU) berhubung LGBTQ disegerakan pemerkasaannya di negara ini.

Terdahulu, Biden dalam ucapan pertama mengenai dasar luar negara bawah pentadbirannya mengumumkan beliau mengarahkan semua agensi Kerajaan AS di luar negara untuk mempromosikan hak asasi LGBTQ dan mengemukakan perancangan dalam tempoh 180 hari.

Biden turut berjanji memberi perhatian kepada pemohon suaka dalam kalangan LGBTQ, termasuk memastikan tindakan diambil untuk kes kecemasan walaupun mereka terlebih dahulu lari ke negara yang kurang mengalu-alukan golongan itu. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -