PSR bakal lenyap banyak kampung Melayu di Pulau Pinang

Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Sekiranya Kerajaan DAP Pulau Pinang masih berdegil untuk meneruskan projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR), mereka akan kehilangan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, berdasarkan petisyen yang dikutip melalui Penang Tolak Tambak, Penang Forum dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), seramai 300,000 pengguna telah menyatakan pendirian menolak pembangunan tiga pulau buatan itu,

- Advertisement -

Dengan jumlah itu, beliau berpendapat bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang berkemungkinan gagal memenangi hati rakyatnya pada PRU akan datang serta menjadi kumpulan minoriti di negeri itu.

“Dari segi moralnya, kerajaan negeri ini nampak semakin menjadi minoriti. Sebab rakyat semakin banyak menolak tambak dengan satu kesepakatan yang besar.

“Kerajaan negeri (telah) membuat satu tindakan yang tidak profesional. Sepatutnya kerajaan perlu akur dengan kehendak rakyat dan pelbagai pihak yang mahu projek ini dihentikan.

“Kalau dia (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) hendak buat juga, mereka perlu bersedia ditolak dalam PRU ke-15 ini. Ini adalah satu gelombang dan satu isyarat daripada rakyat (Pulau Pinang),” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan terkini projek tiga pulau buatan itu setelah bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar turut menyatakan pendiriannya menolak PSR, kata Ustaz Fauzi, tiada sebarang maklum balas daripada DAP Pulau Pinang setakat ini.

Oleh itu, dengan jawapan senyap yang diberi itu, beliau menganggap bahawa DAP Pulau Pinang masih mahu meneruskan projek itu.

Sementara itu, beliau turut menekankan bahawa sekiranya PSR diteruskan, lebih banyak kampung-kampung Melayu di Pulau Mutiara itu akan lenyap.

Katanya, kampung-kampung di Selatan Pulau Pinang akan lenyap berdikit-dikit seperti mana kampung-kampung lain yang berada di Batu Maung dan Bayan Baru sebelum ini.

“Kampung Teluk Kumbar, Sungai Batu yang ada di persekitaran kawasan yang akan dibuat PSR itu, akan lenyap.

“Sekarang kampung masih ada, tetapi jika dibandingkan dengan kampung yang ada sebelum ini, asalnya lebih banyak.

“Kira kalau buat PSR itu, dia akan musnah kampung-kampung ini. Contohnya seperti Kampung Permatang Damar Laut yang ada sekarang akan menjadi seperti Kampung Binjai, Kampung Batu Maung dan sebagainya.

“Kampung ini akan terkesan sebagaimana kampung-kampung yang telah pun musnah di kawasan Georgetown, kampung yang duduk dalam Bayan Baru.

“Ini bukti bahawa pembangunan yang naik itu sememangnya memberi kesan kepada kampung-kampung Melayu dan kampung yang ada di kawasan PSR akan mengalami masalah sama,” jelasnya.

Tambah Ustaz Fauzi lagi, tidak mustahil sekiranya beebrapa tahun kemudian komuniti masyarakat Melayu berputih mata sekiranya mereka berpeluk tubuh membiarkan PSR diteruskan.

“Yang kaya siapa? Yang bakal merana dan papa kedana siapa?” soalnya.

Justeru itu, beliau menyeru rakyat Pulau Pinang menumbangkan kerajaan DAP Pulau Pinang dan menyelamatkan negeri itu daripada kuasa imperialis dan kapitalis DAP.

“Pemimpin Kerajaan DAP arrogant, keras kepala. Majoriti rakyat membantah, namun tidak dihiraukan juga. Rakyat perlu tahu, kerajaan yang gagal adalah labiliti kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -