Impian tiga pulau kerajaan DAP dibantah PKR

Oleh M FAQIH

SEJAK awal lagi ramai bantah Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR). Bukan sahaja nelayan di kawasan itu, sebaliknya rakyat di Perak dan Kedah juga membantah.

Malah pelbagai NGO dan PAS menentang projek tersebut dengan mengambil kira impak alam sekitar.

Pelaksanaan PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar. Apa yang diimpikan kerajaan DAP pulau buatan itu mampu menyaingi Marina Bay di Singapura.

Projek tersebut diuar-uarkan kerajaan Pulau Pinang bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur. Antaranya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.

Advertisement

Sebagai jalan pintas PSR menjadi taruhan untuk membiayai kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dianggar bernilai RM49 bilion. Tujuan asal untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Malah ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir Putrajaya kerajaan DAP itu dikatakan mengajukan permohonan kepada kerajaan pusat dana RM10 bilion. Ia bagi membiayai sebahagian PIP Pulau Pinang.

Kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dua projek yang dicadang meliputi pembangunan projek transit aliran ringan (LRT) dan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) dianggar bernilai RM20 bilion.

Dana RM10 bilion tersebut ditagih kerajaan Pulau Pinang tentunya mengambil kira Menteri Kewangan ketika itu juga pemimpin DAP.

Persoalannya betulkah projek PSR sebagai timbal balas untuk mendapatkan dana bagi melaksanakan PIP. Atau ada udang di sebalik batu.

Ini kerana sejak awal projek itu direncana nelayan paling ke hadapan membantah. Begitu juga NGO, PAS dan Umno. Ramai menjangka ada udang di sebalik batu.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff tegas menyatakan parti itu membantah projek PSR.

Kata beliau projek itu tersasar tujuan asalnya kerana lebih banyak menumpukan kepentingan pihak lain. Juga ia mengabaikan kelestarian alam sekitar dan hidupan laut.

Sedangkan laut di sekitar kawasan berkenaan menjadi sumber rezeki nelayan. Kehidupan mereka seumpama kais pagi makan pagi. Bagaimana pula sekiranya 1,700 hektar kawasan laut bertukar menjadi pulau.

Nelayan terpaksa meredah lokasi lain pula bagi mencari rezeki. Tentunya kos bot makin meningkat apabila penggunaan petrol makin bertambah.

Perkara sama didedah Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara). Pengerusinya Nazri Ahmad dilapor berkata, pihaknya kekal dengan pendirian menolak projek berkenaan.

Mereka juga tidak berminat dengan pampasan yang disifatkan tidak setimpal untuk jangka masa panjang.

“Kami amat kecewa dengan kenyataan kerajaan negeri, seolah-olah nelayan akan terima projek itu sekiranya diberi pampasan setimpal. Kami masih sebulat suara menolak PSR,” katanya.

PKR bantah

Selepas lebih tiga tahun isu itu diperdebatkan akhirnya pemimpin pembangkang juga akur. Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tiba-tiba mendesak kerajaan membatalkan PSR.

Pemimpin PKR terbabit mahu Putrajaya dan Pulau Pinang membatalkan projek tiga pulau buatan tersebut. Ia bagi melindungi alam sekitar dan ekosistem serta sumber pendapatan nelayan Pulau Pinang.

Kata Nurul Izzah PSR lebih memfokus kepada keuntungan dan penjualan hartanah spekulatif. Kali ini nada PKR serupa dengan nelayan dan NGO.

Keberanian pemimpin muda PKR itu seperti meredah arus. Apakah DAP sekadar mendiamkan diri. Tentunya tidak. Setidak-tidaknya ia boleh memberi gambaran hubungan PH sekarang. Hanya kelihatan mesra di atas kertas.

Pendirian Nurul Izah muncul sebelum AMK mendesak PKR tidak lagi menjalin hubungan dengan Dr Mahathir Mohamad.

Malangnya Puteri Reformasi itu bangkit selepas kerajaan Pulau Pinang dikatakan membenarkan SRS Consortium menjalankan kerja tambakan salah satu tiga pulau yang dicadangkan.

Syarikat terbabit dikatakan akan mendapat RM3.8 bilion menambak Pulau A. Oleh itu bagi meredakan kemarahan rakyat kerajaan negeri memberi jaminan tanah tersebut akan tetap menjadi milik kerajaan setelah selesai.

Mungkinkah tindakan Nurul Izah sebagai langkah drastik PKR mengelakkan kehilangan undi Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Biarpun undi orang Cina masih menjadi taruhan di Pulau Pinang, namun kesan PSR boleh mempengaruhi undi Melayu di kawasan lain.

Maka PKR perlu bertindak segera. Nurul Izah menjadi taruhan biarpun terpaksa bermasam muka dengan DAP. Presiden PKR Anwar Ibrahim seperti membiarkan anaknya menongkah arus.

PKR juga sedar petisyen awam ‘Selamatkan Pulau Pinang! Tolak Penambakan 3 pulau! mendapat sokongan meluas. Bahaya sedang menanti PKR ketika pengaruh PH semakin merosot. – HARAKAHDAILY 7/6/2021