Surat terbuka untuk warga emas yang dikasihi

Jangan ragu-ragu lagi, mari bersama kita hentikan Pandemik Covid-19

- Advertisement -

KE HADAPAN warga emas yang dihormati lagi dikasihi sekalian,

Kita sedia maklum bahawa bilangan kes di Malaysia sekarang berada pada tahap yang menakutkan. Statistik menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada pesakit di negara kita adalah golongan muda dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun.

Mereka ini kebanyakannya tidak bergejala dan tidak memerlukan rawatan di hospital atau Unit Rawatan Rapi (ICU). Walaupun bilangan pesakit warga emas agak kurang, tetapi sebilangan besar kes kematian adalah dalam kalangan warga emas.

Selain faktor umur, penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan lemah jantung merupakan faktor yang menyebabkan seseorang mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

- Advertisement -

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah melaporkan bahawa bilangan katil ICU berada pada tahap sangat kritikal. Pada ketika ini, para doktor perlu membuat keputusan sukar untuk memilih pesakit yang patut diberikan katil rawatan di ICU.

Secara logiknya, mereka yang mempunyai potensi yang tinggi untuk pulih, akan dipilih. Mereka yang sudah berumur dan mempunyai penyakit 3 atau 4 serangkai mempunyai kebarangkalian untuk pulih yang agak rendah.

Justeru, mereka bukanlah calon terbaik untuk menghuni ICU walaupun keadaan mereka agak kritikal. Perkara ini sudah pasti menakutkan golongan warga emas. Bimbang jika dimasukkan ke hospital, tidak lagi kembali berpeluang ke rumah sebaliknya kembali ke negeri abadi.

Jadi apa yang perlu makcik dan pakcik lakukan? Adakah kita semua mempunyai pilihan?

Paling penting, makcik dan pakcik perlu mendaftar untuk dapatkan vaksin bagi mencegah Covid-19. Bukankah pepatah mengatakan, mencegah itu lebih baik daripada mengubati?

Vaksin Covid-19 yang ada di Malaysia telah dibuktikan selamat dan berkesan. Ia juga telah difatwakan harus oleh badan agama di seluruh dunia.

Warga emas yang dihormati sekalian,

Walaupun tidak mendapat keutamaan untuk katil ICU, kerajaan dengan baik hati telah memberikan keutamaan kepada makcik pakcik untuk mendapat vaksin lebih awal daripada golongan muda.

Rebut peluang ini! Kami bimbang, jika golongan warga emas tidak mendaftar sekarang, vaksin akan habis diberikan kepada golongan muda. Lihat sahaja apa yang berlaku apabila kerajaan membuka peluang untuk mendaftar vaksin Astra Zeneca, laku seperti goreng panas!

Tidak perlu percaya dengan khabar-khabar negatif tentang vaksin. Tidak perlu juga ‘forward’ cerita-cerita atau berita yang tidak pasti kesahihannya kepada ahli keluarga dan sahabat handai.

Sekiranya menerima cerita sebegini, biarkan ia berakhir di telefon makcik dan pakcik sekalian. Hentikan rantaian berita palsu dengan tidak menghantar kepada orang lain serta menghapuskannya terus daripada telefon bimbit kita.

Mungkin kita semua tertanya-tanya adakah kita sudah boleh melupakan SOP setelah menerima vaksin? Adakah anak cucu kita bebas rentas daerah melawat kita?

Setelah divaksin, kita masih perlu mematuhi SOP iaitu kerap basuh tangan, penjarakan fizikal, memakai pelitup. Kita juga harus mengelakkan daripada berkumpul beramai-ramai, mengunjungi sanak-saudara dan sahabat handai.

Makcik dan pakcik tidak perlu berasa sedih seandainya anak-anak tidak pulang ke kampung. Sebenarnya, anak-anak boleh menjadi ‘pembunuh senyap’. Sudah banyak yang kita dengar bagaimana anak-anak yang tidak bergejala menyebabkan jangkitan kepada ibubapa tanpa sengaja.

Sekiranya anak ingin pulang menziarah, makcik pakcik tunjukkan rasa sayang dengan menghalang kepulangan mereka. Buat masa ini, kekal di tempat masing-masing adalah cara yang terbaik bagi memutuskan rantaian penyakit Covid-19.

Jadi, ini adalah cara-cara untuk kita kekalkan hubungan kekeluargaan di samping melepaskan kerinduan buat yang tersayang.

Jika rindukan anak dan cucu, manfaatkan teknologi dengan menggunakan aplikasi panggilan video, bersembang menggunakan WhatsApp, bertukar gambar dan sebagainya. Anak-anak yang tidak pulang ke kampung bukanlah tidak sayang pada ibu bapa.

Disebabkan sayanglah mereka sanggup menahan kerinduan kepada ibubapa. Insya-Allah masanya akan tiba suatu hari nanti untuk kita kembali hidup seperti biasa.

Makcik pakcik juga tidak digalakkan untuk keluar ke tempat awam yang sesak seperti pasar. Boleh minta tolong anak uruskan pembelian atas talian atau ‘online’.

Sekiranya tidak ada kemudahan untuk pembelian atas talian ataupun belum mahir menggunakan aplikasi atas talian, minta bantuan jiran atau anak yang tinggal berhampiran untuk mengajar cara penggunaan aplikasi ini.

Barangan boleh ditinggalkan di depan rumah tanpa perlu berjumpa dengan penghantar. Jika perlu berjumpa dengan orang luar, pastikan memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

Akhir kata, kami memohon dengan rasa rendah hati, agar kita semua sentiasa patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan segala SOP untuk kawalan serta pencegahan COVID-19.

Pada hakikatnya, kami pasti, pengalaman hidup berpuluh-puluh tahun melebihi setengah abad makcik dan pakcik sekalian amat berharga. Namun, dalam menghadapi wabak sebegini, ini adalah kali pertama semua orang menghadapinya. Kami harap, kita semua tabah, kekal bersatu dalam melawan jangkitan yang kita tak dapat lihat ini.

Salam sayang daripada kami untuk semua warga emas yang tersanjung dan terhormat. Wassalam dan terima kasih.

Yang ikhlas,

PROF MADYA DR NURUL AZMAWATI MOHAMED
Pakar Mikrobiologi Klinikal
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

PROF MADYA DR MOHD DZULKHAIRI MOHD RANI
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -