Warga emas rasa lebih segar selepas dapat dua dos

Fauziah Taib
- Advertisement -

ALOR SETAR: Mengapa masih ada penduduk yang terpengaruh dengan dakyah negatif segelintir pihak yang cuba mengkesampingkan usaha kerajaan menangani penularan pandemik Covid.

Sedangkan program vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan terbukti berkesan dan ia digunakan secara meluas di seluruh dunia. Malah bagi negara yang sudah mencapai peratusan tinggi menerima vaksin, sudah membuka banyak sektor ekonomi.

- Advertisement -

Hakikat itu turut diakui ramai warga emas yang ditemui selepas mereka menerima suntikan vaksin. Jelas bagi mereka ia amat positif.

Tenaga pengajar di sebuah PASTI di Kulim Bandar Baru, Fauziah Taib, 62, berkata, tiada implikasi atau kesan yang dirasai selepas mendapat kedua-dua dos vaksin.

“Alhamdulillah, saya rasa lebih segar dan sihat dan tiada apa-apa implikasi yang saya hadapi. Semua baik-baik sahaja.

“Saya selesai kedua-dua dos iaitu pada 11 April dan 3 Mei lalu,” ujar di sini.

Oleh itu beliau mengajak mereka yang belum mendaftar segera berbuat demikian sebagai usaha melindungi diri dan keluarga.

Mohd Noor Ismail

Pesara tentera Mohd Noor Ismail, 63, turut berharap mereka yang belum mendaftar supaya segera bertindak supaya wabak Covid-19 tidak terus merebak.

Beliau yang merupakan aktivis masyarakat di Kubang Pasu juga berharap semua anggota masyarakat terutama warga emas menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19 yang diberi percuma kerajaan.

Bekas pendidik Maktab Mahmud Alor Setar, Ustazah Miah Saad berkata, suntikan vaksin Covid-19 tidak sakit apa-apa.

Miah Saad

“Macam kita ambil suntikan ketika nak pi Makkah. Tapi yang ini lebih pentinglah sebab untuk cegah jangkitan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau menerima suntikan dos pertama pada 31 Mei lalu, berharap orang ramai abaikan maklumat palsu berkenaan vaksin Covid.

“Rujuklah kepada pakar dalam bidang ini dan abaikan berita-berita palsu yang ditular. Semuanya itu usaha pihak tidak bertanggungjawab untuk menggagalkan usaha kerajaan,” tambahnya lagi.

Kedah antara negeri yang masih rendah pendaftaran vaksin Covid-19 di mana sehingga 2 Jun hanya 685,915 rakyat Kedah (42.8 peratus) yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Manakala sehingga tarikh sama kira-kira 8.26 peratus (132,081) menerima dos terbabit.

Kempen kesedaran kepentingan mengambil vaksin rancak dijalankan memandangkan Kedah antara negeri yang mencatatkan kes postitif Covid-19 agak tinggi kebelakangan ini.

Malah Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor seringkali menasihatkan orang ramai mengambil tindakan mendaftar melalui aplikasi yang disediakan iaitu MySejahtera. – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -