Organisasi Kerjasama Islam (OIC): Ke mana hala tujunya?

- Advertisement -

KETIKA Masjidil Aqsa dibakar oleh Yahudi Israel pada 21 Ogos 1969, satu persidangan para pemimpin Islam diadakan di Rabat, Maghribi pada 25 September 1969. Para pemimpin dan ulamak dari 24 buah negara hadir dan mengambil resolusi untuk menubuhkan Persidangan Negara-negara Islam (OIC). Hari ini, 57 buah negara menjadi menjadi anggotanya.

Persoalan saya hanya satu. Bukankah OIC tertubuh kerana kejahatan Israel yang membakar Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ketika itu. Orang-orang Yahudi bertindak menjajah negeri-negeri umat Islam termasuk Sinai selepas beberapa siri Perang Arab-Israel sejak 1948, yang berkesudahan dengan Perang Yom Kippur pada 1973 dan Perjanjian Camp David 1978.

- Advertisement -

Ertinya, kerana Palestin, OIC ditubuhkan. Maka, apakah peranan sebenar OIC dalam membela Palestin sejak lebih 50 tahun. Adakah hanya bersidang dan membuat resolusi-resolusi yang tidak bermakna. Ia adalah sesuatu yang memilu dan memalukan!

Hari ini, Masjid al-Aqsa terbakar lagi. Israel mengganas lagi. Palestin terus tertindas. Air mata dan darah menitis lagi. Seluruh dunia umat Islam dan pendukung kemanusiaan meraung meminta perhatian untuk Palestin. Para pemimpin OIC sendiri masih kaku dan beku di bilik-bilik berhawa dingin yang berkerusi empuk. Apakah mereka tidak punya rasa dan tidak berperasaan?

Pemimpin umat Islam yang berada di dalam OIC sekarang sebenarnya tersepit pada apa? Apa yang membuatkan mereka hilang punca? Apa yang meluluhkan iman dan jati diri mereka? Apa yang membunuh perasaan belas terhadap saudara-saudara mereka yang tertindas di al-Quds?

Umat Islam perlu membuka mata dan menilai semula keadaan ini. Jangan kerana tersalah mengangkat pemimpin, seluruh maruah dan harga diri umat hilang nilainya!

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -