KXP: Kesungguhan Kedah menerobos masa depan

Bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi merubah wajah pembangunan Wilayah Utara Semenanjung

- Advertisement -

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dilihat menjadi rancangan pembangunan yang sangat berpotensi sebagai ‘game changer’ kepada ekonomi di Wilayah Utara Semenanjung. Ia bakal membuka alternatif baharu yang lebih berdaya maju berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Ini kerana PIA cuma memiliki landasan tunggal yang hanya mampu menampung penumpang hingga maksimum 12 juta orang setahun. Sedang KXP akan mempunyai empat landasan iaitu dua pada fasa pertama dan kedua pembinaannya, manakala dua lagi menjelang tahun 2050.

- Advertisement -

Kewujudan KXP dijangka mampu melonjakkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Kedah sehingga 4.6 peratus. Di mana ia bukan sahaja akan menyokong pengangkutan penumpang dan kargo domestik dan antarabangsa terutama dari Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), tetapi juga dari negeri Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Dilengkapi sama dengan komponen pembangunan lain iaitu Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM) dan Lebuh Raya Koridor Utara (NCH), semua ini bakal membawa limpahan dan kerancakan ekonomi kepada daerah terpinggir seperti Kulim dan Baling.

Namun, KXP sebagai Projek Ikonik yang dijulang sejak tahun 2013, rupanya sebelum ini sekadar manis dibibir politikus dan di atas kertas kerja negeri. Paling ‘tinggi usaha’ ke atasnya, sekadar pernah disebut di dalam Jawatankuasa Mesyuarat Kewangan Persekutuan pada tahun 2019. Tetapi langsung tidak pernah dikemukakan ke platform yang sebenar iaitu kepada Kabinet.

Malah, segala data kajian oleh 12 konsultan mengenai KXP dengan belanja jutaan ringgit, sama sekali tidak pernah ada dalam pengetahuan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KXP tidak ubah bagaikan khayalan indah yang menjadi gimik dari pencetus asalnya sendiri iaitu bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir. Hakikatnya, KXP hanya menjadi ‘harimau di atas kertas’ dan paparan pameran serta cakap berdegar-degar.

Inilah hakikat sebenar status atau kedudukan KXP ketika Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengambil alih teraju negeri. Bermakna ekoran keadaan tersebut, beliau seperti terpaksa memulakan segalanya daripada ‘zero’. Tetapi ternyata beliau tidak menghempas buang projek yang bukan dicetuskannya ini. Kata Sanusi:

“Kita akan capai negeri yang berada setara dengan negeri-negeri di Lembah Klang ini dalam tempoh 10 tahun, 20 tahun lagi. Fokus kita untuk membawa Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua ini melalui beberapa pendekatan yang kita sedang ambil sekarang ini. Kita tengok perancangan yang lama itu ada projek-projek berimpak tinggi yang boleh menjana pendapatan baru kepada Kerajaan Kedah. Kita teruskan, kita tak ada dendam politik nak ‘stop’ projek orang, tak ada. Benda-benda ini tak patut diamalkan oleh mana-mana rejim pun. Kalau benda baik patut diteruskan. Jangan diambil kira sangat perbezaan parti politik itu. Kerana ia merugikan sumber. Kita dah habis banyak sumber untuk capai ke tahap itu, kerajaan berikutnya patut teruskan kalau itu didapati mendatangkan kebaikan. Ini yang sedang kita buat.”

Demi kepentingan rakyat dan negeri, di mana melihat KXP secara futuristik akan menjadi ‘jalan keluar’ membebaskan Kedah dari kedudukan kedua tercorot KDNK Malaysia, Sanusi menghayun langkah padu. Seawal Ogos, yakni kurang tiga bulan menjadi Menteri Besar, beliau telah bertemu dan tekun merealisasikan usaha ke arah pembinaan KXP.

Jawatankuasa Teknikal dibentuk bagi melaksanakan pematuhan kepada lapan nasihat yang ditetapkan MPFN. Begitu juga dengan data kajian kebolehlaksanaan sedia ada serta perundingan, MOT akhirnya memberi kelulusan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) lebih awal berbanding tiga tahun diperlukan.

Hasilnya, setelah diangkat ke Kabinet, projek KXP menerima kelulusan Kerajaan Persekutuan pada tanggal 27 Oktober 2020, sekali gus memperoleh kebenaran merancang dan melakukan pengambilan tanah selaras Seksyen 8 Kanun Tanah Negara.

Kesungguhan digerak dengan reputasi ketelusan yang tersemat telah menarik keyakinan para pelabur terhadap kemampuan pasukan Menteri Besar. KXP berjaya mendapat nilai besar dan tawaran pembangunan komponen lain antaranya jambatan langsung dari Georgetown dan sebuah taman semikonduktor.

Malah, biarpun tidak berjaya mendapatkan pinjaman mudah RM2 bilion yang dipohon dari Kementerian Kewangan, tekad Sanusi tidak mampu diperlahankan apabila dengan berani mendapatkan ‘Private Finance Iniciative’. Menjadikan semua komitmen ini sedang menerobos pembangunan masa depan kawasan sekitar dan negeri ini. 

Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) pula tentunya bakal meneroka tambahan ilmu baharu berkaitan aeroangkasa dan seumpama. Segala infrastruktur setempat akan dinaik taraf secara langsung dan tidak langsung. Penempatan akan tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Sudah pasti juga harga hartanah akan semakin meningkat nilainya.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -