Jangan bersekongkol dengan golongan dimurkai Allah

PENGHAYATAN Al-Quran hari ini memfokuskan satu ayat berkaitan larangan Allah SWT menjadikan golongan yang dimurkai Allah sebagai teman apatah lagi pemimpin yang menaungi sesebuah pemerintahan. Golongan ini tidak meletakkan kepercayaan kepada hari kebangkitan apatah lagi soal dosa dan pahala. Oleh itu, mereka tidak layak memimpin serta mengendalikan urusan kehidupan umat Islam. Larangan Allah tersebut telah dinyatakan melalui firman-Nya:

Advertisement

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَوَلَّوۡا۟ قَوۡمًا غَضِبَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِمۡ قَدۡ یَىِٕسُوا۟ مِنَ ٱلۡـَٔاخِرَةِ كَمَا یَىِٕسَ ٱلۡكُفَّارُ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلۡقُبُورِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur”. (Al-Mumtahanah: 13)

Majoriti ulama menyebut bahawa golongan yang dimurkai Allah ialah Yahudi yang merubah ajaran Allah SWT dan kekal di atas ajaran yang telah diseleweng tersebut. Golongan yang mengetahui kebenaran akan tetapi menolak kebenaran itu juga termasuk dalam kalangan orang yang dimurkai Allah sebagaimana dinyatakan dalam banyak kitab tafsir.

Allah SWT melarang umat Islam bersekongkol dengan musuh mereka yang juga menjadi musuh Allah. Semasa zaman Nabi SAW, terdapat segelintir umat Islam yang menjadikan Yahudi sebagai teman rapat. Mereka dinasihati agar menjauhi Yahudi kerana mereka adalah perosak akidah Muslim dan penyebar berita palsu dalam masyarakat. Allah menurunkan ayat larangan menjadikan puak Yahudi sebagai teman dan pemimpin. Larangan tersebut adalah amaran kepada umat Islam agar menjauhi golongan yang dimurkai Allah SWT.

Islam melarang keras menjadikan orang bukan Islam yang ekstrem sebagai pemimpin dan kawan kerana mereka akan bertindak jahat terhadap pelaksanaan dan suruhan Islam. Oleh itu, para ulama Islam yang muktabar tidak membenarkan pelantikan bukan Islam sebagai pemimpin yang mentadbir majoriti umat Islam. Berkata Qadhi Iyadh:

أجمع العلماء على أن الإمامة لا تنعقد لكافر، وعلى أنه لو طرأ عليه الكفر انعزل

“Para ulama sepakat bahawa kepemimpinan tidak boleh diserahkan/dilantik kepada orang kafir. Termasuk ketika ada orang Islam yang melakukan kekufuran, maka dia mesti dipecat”.

Kewujudan pemimpin yang dimurkai Allah sangat banyak mudarat kepada negara dan masyarakat. Akan timbul pelbagai gejala negatif yang bertentangan dengan ajaran agama seperti berleluasanya amalan rasuah, kronisme, tindakan tidak adil dan pecah amanah. Apa yang lebih teruk, pelaksanaan agama akan terencat.

Bahkan akan lahir dalam masyarakat puak pendusta akan tetapi dipercayai dan menjadi ikutan ramai. Sebaliknya orang yang jujur dan amanah akan dituduh sebagai pengkhianat dan dianggap pendusta. Hal ini jika tidak dibendung, akan berleluasa dalam masyarakat dan pentadbiran sesebuah negara akan musnah. Nabi SAW telah memperingatkan hal ini melalui sabdanya:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh kedustaan. Pendusta dianggap jujur dan orang jujur dianggap pendusta, pengkhianat dianggap amanah dan orang yang amanah dianggap pengkhianat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Menjauhi serta bertegas dengan Yahudi dan golongan yang dimurkai Allah tidak menafikan hak saling mewujudkan keharmonian dalam sesebuah masyarakat majmuk. Islam sendiri menyuruh berbuat baik kepada bukan Islam yang baik dan tidak ekstrem. Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi.

Kita boleh lihat ketika Nabi SAW mentadbir Madinah, baginda telah mengadakan perjanjian dengan golongan Yahudi untuk saling menghormati dan mempertahankan negara daripada segala bentuk ancaman luar. Jelas di sini bahawa Islam sangat mengutamakan perdamaian dan keharmonian dalam sesebuah masyarakat serta menghormati hak-hak golongan bukan Islam. Hal ini tidak bercanggah dengan ketegasan Islam dalam soal akidah dan prinsip yang menjadi teras pegangan.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
28 Ramadhan 1442/10 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 10/5/2021