Adun kumpul dana bantu asnaf, anak yatim

- Advertisement -

BACHOK: Pusat Khidmat Dun (PKD) Jelawat mengumpul sumbangan derma orang ramai untuk diagih semula kepada golongan asnaf termasuk anak-anak yatim di Dun terbabit.

Adun Jelawat Abdul Azziz Kadir berkata, sebanyak RM30,000 berjaya dikumpul dan dimanfaat bagi membantu golongan terbabit yang bermula sejak 5 Ramadan lepas sehingga sekarang.
Katanya, sumbangan itu bagi membantu golongan asnaf di bulan Ramadan sekarang dan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

- Advertisement -

“Turut dibantu ibu tunggal dan penduduk miskin dengan menyampaikan sumbangan persiapan menghadapi lebaran walaupun diadakan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bermula 5 Ramadan lagi kita mengagihkan bantuan termasuk telur, beras dan bahan keperluan lain. Program itu berterusan sehingga sekarang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah Izani Ibrahim di Kedai Gunung semalam.

Sumbangan itu diterima balunya Sariha Husin di kediamannya mereka. Turut hadir Penghulu Mukim Gunung, Abdul Satar Yusoff.

Abdul Azziz juga berkata, kerajaan negeri pula menyalurkan bantuan sebanyak RM20,000 bagi membantu penduduk miskin di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu Sariha, 42 bersyukur kerana kesukaran hidupnya bersama lima anak selepas kematian suami mendapat perhatian wakil rakyat.

Katanya, beliau menerima bantuan bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Suami saya seorang aktivis parti dan NGO Royalti meninggal dua tahun lalu kerana serangan penyakit jantung. Jika tiada sumbangan seperti ini, saya terpaksa mengharap belas ihsan adik,” katanya.

Sariha sekarang mengambil upah menjaga anak penduduk dan membuat kuih muih sebagai sumber pendapatan. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -