UMK edar 1,000 pek bubur lambuk

- Advertisement -

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengedarkan 1,000 pek bubur lambuk kepada warga UMK sempena Program Imarah Ramadan tahun ini.

Penyelaras program berkenaan Ustaz Mohd Binyamin Che Yaacob berkata, program memasak bubur lambuk secara gotong-royong itu dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat berikutan Kelantan dikuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, program memasak bermula jam 8 pagi dengan penglibatan minima kakitangan Pusat Islam, Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

- Advertisement -

“Bubur lambuk cukup istimewa kerana dimasak menggunakan resipi turun temurun dengan menggunakan beras siam dan campuran bawang goreng.

“Ia ditambah dengan serunding daging tempatan bagi membangkitkan selera,” ujarnya pada majlis pengagihan bubur lambuk di Pusat Islam, UMK di sini semalam.

Pelancaran program bubur lambuk percuma itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Dr Razli Che Razak.

Turut hadir Pengarah Pusat Islam Universiti Prof Madya Dr Mohd Zain Mubarak.

Proses memasak bubur lambuk selesai jam 2 petang dan dibungkus sebelum diagih kepada staf dan pelajar UMK.

Manakala pada program lain Pusat Islam mengagihkan sebanyak 500 kotak kurma kepada staf UMK yang terdiri daripada bahagian keselamatan, pemandu, pembantu operasi pejabat dan staf pembersihan di ketiga-tiga kampusnya.

Menurut Mohd Binyamin, program itu menjadi aktiviti tahunan bagi menyantuni staf dan pelajar asnaf termasuk komuniti setempat.

“Agihan kurma hasil sumbangan daripada staf, individu, badan koporat dan masyarakat untuk dimanfaatkan Pusat Islam bagi mendapat keberkatan pada bulan Ramadan sekarang,” katanya.

Agihan kurma@Sinar Ramadan itu disampaikan Dr Mohd Zain. Turut hadir Pengurus Besar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Kelantan Mohd Azrul Akmal Mamat dan Pegawai Tadbir Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Muhamad Anuar Ismail.

Program berkenaan diadakan setiap tahun pada bulan Ramadan dikendalikan Pusat Islam UMK, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dengan kerjasama PTPTN serta MPPK. – HARAKADAILY 5/5/2021

- Advertisement -