Politik Islam untuk anak muda

- Advertisement -

PENGHAYATAN terhadap Islam amatlah penting buat para pemuda Islam yang beriman. Islam adalah sebagai ad-Din yang bersifat syumul meliputi seluruh perihal kehidupan manusia termasuklah politik:

- Advertisement -

وَیَوۡمَ نَبۡعَثُ فِی كُلِّ أُمَّةࣲ شَهِیدًا عَلَیۡهِم مِّنۡ أَنفُسِهِمۡۖ وَجِئۡنَا بِكَ شَهِیدًا عَلَىٰ هَـٰۤؤُلَاۤءِۚ وَنَزَّلۡنَا عَلَیۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ تِبۡیَـٰنࣰا لِّكُلِّ شَیۡءࣲ وَهُدࣰى وَرَحۡمَةࣰ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِینَ

“(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.”

(an-Nahl: 89)

Politik adalah satu keperluan dalam mengurus dan menyusun atur masyarakat. Tatkala membelek lembaran sejarah kita akan kagum mendapati bahawa Nabi Muhammad S.A.W sendiri merupakan seorang tokoh politik yang masyhur, membawa konsep politik Islam yang damai dan sejahtera berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Celupan politik Baginda Rasulullah S.A.W sentiasa membawa satu tauladan yang cukup berhikmah, lemah-lembut tetapi tegas dengan prinsip dan pendirian. Atas kejayaan Rasulullah membawa politik Islam Memimpin Negara, Islam berjaya menguasai hampir dua pertiga dunia. Malah, Islam dikenali di seluruh dunia, digeruni dan dihormati oleh semua pihak tidak kira kawan mahupun lawan.

Itulah hasil kejayaan dakwah dan politik yang telah Rasulullah S.A.W tunjukkan buat umatnya untuk diikuti dan diteladani. Politik itu asalnya bersih. Ia adalah amanah mengurus manusia yang akan dipersoal di akhirat nanti. Kehadiran pemain-pemain politik dengan jalur pemikiran Machiavelli, Oportunis dan Apologetik telah menjadikan politik dilihat kotor.

Prinsip matlamat menghalalkan cara menyemai politik kebencian, politik persepsi, politik fitnah, politik adu domba yang hanya membawa kepada kerosakan dalam masyarakat. YB Senator Ketua Pemuda PAS Malaysia baru-baru ini menyatakan ‘Hakikatnya politik itu tidak kotor, yang menjadikannya kotor ialah pemain politik yang tidak berintegriti serta memperdagangkan bangsa dan negara demi kepentingan diri sendiri.’

Kesannya golongan anak muda hari ini semakin jauh untuk mengambil tahu mengenai perihal politik. Sifat politik yang sepatutnya membawa kebaikan dilihat menjadi pentas orang-orang tua untuk bergaduh sesama sendiri lantas membawa arus anak muda untuk mengambil alur jalan lain yang sifar cerita politik.

Mungkin bagi sesetengah pihak ia perkara biasa namun hakikatnya ia merupakan petaka pada ummah apabila politik mula dilupakan anak muda. Di sinilah negara memerlukan amalan politik baru yang matang dan sejahtera. Itulah politik Islam. Politik perlu dikembalikan kefahaman fungsinya dalam kalangan anak muda untuk membangunkan masyarakat dan negara. Ruang politik adalah ruang untuk memberi khidmat kepada rakyat bukan gelanggang petak tempat berperang sesama ahli politik.

Perlu dibugarkan kembali pendekatan politik matang melalui hujah dan fakta, pendekatan harmoni secara diplomasi, meramaikan kawan berbanding musuh dengan Islam sebagai penyelesaian.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyeru kepada seluruh anak muda baik pimpinan parti-parti politik muda, NGO belia dan anak muda serta orang persendirian untuk bersama menyuburkan politik baru yang matang untuk Malaysia yang sejahtera.

Jika bukan kita siapa lagi? Jika bukan sekarang bila lagi? Anjakan ini adalah satu keperluan atau anak bangsa kita akan meninggalkan politik satu hari nanti. Dan apabila orang-orang baik meninggalkan politik maka orang-orang jahat akan menempel menguasai. Natijahnya, negara boleh hancur binasa jika bukan kita sebagai pemula.

“Setitis Dakwat”

AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -