Kes harian meningkat, PKRC sedia ada semakin padat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mengambil kira jumlah kes positif harian Covid-19 di Kelantan meningkat sekarang menyebabkan Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC) sedia ada semakin sendat.

Jumlah pesakit di lima PKRC sedia ada di negeri itu mencecah 79 hingga 103 peratus.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Zuraidin Abdullah berkata, Dewan Kompleks Belia dan Sukan, Panji dipertimbang sebagai PKRC baharu bagi menampung jumlah pesakit yang meningkat sekarang.

Katanya, beberapa kemudahan di kompleks berkenaan baharu sahaja dinaik taraf.

“Ia dijangka akan memberi keselesaan kepada orang ramai. Keluasan dewan di situ juga lebih kurang sama dengan Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

“Dewan Wawasan dan asrama di Kompleks Belia dan Sukan sesuai dijadikan penempatan untuk pesakit. Sistem pengudaraan pun baik selepas dinaik taraf,” katanya di sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin sebelum ini memberitahu susulan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di Kelantan, pihaknya bercadang membuka sebuah lagi PKRC iaitu Dewan Kompleks Belia dan Sukan berkenaan.

Sehingga sekarang hospital dan PKRC sedia ada di Kelantan hampir mencapai 100 peratus penggunaan katil pesakit. Malah Hospital Tumpat melebihi 113.4 peratus.

Zuraidin juga berkata, kerajaan negeri berharap orang ramai dapat memanfaatkan kemudahan tersebut dengan sebaik mungkin apabila beroperasi sebagai PKRC.

Menurutnya juga orang ramai hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup ketika berada di tempat awam bagi mengurangkan jumlah kes Covid-19.

PKRC di Kelantan sekarang iaitu Asrama Hospital Tengku Anis, Asrama Hospital Pasir Mas, Dewan Jubli Perak, Dewan PUTIK Pengkalan Chepa, Pusat Latihan Tumpat dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM). – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -