500 NGO di Kelantan terima sumbangan Ramadan

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyumbang sejumlah RM75,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sempena bulan Ramadan tahun ini.

Peruntukan itu untuk diagihkan kepada 500 NGO di seluruh Kelantan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Zuraidin Abdullah berkata RM25,000 daripadanya sumbangan dalam bentuk bakul Ramadan.

Manakala sebanyak RM50,000 pula sumbangan dalam bentuk wang tunai.

- Advertisement -

“Setiap NGO akan mengagihkan kepada lima asnaf dalam kalangan mereka pula,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan kepada 10 penerima yang mewakili 10 NGO di negeri itu.

Sumbangan diadakan di perkarangan pejabat Exco di MABNA MBI, di sini, hari ini.

Zuraidin yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Chetok berkata, kerajaan negeri menyalur sumbangan tersebut sebagai tanda ingatan kepada golongan berkenaan sempena Ramadan sekarang.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat mengurangkan beban golongan asnaf di bawah NGO. Biarpun sumbangan tidak seberapa namun memberi makna kepada mereka,” ujarnya.

Menurutnya juga, memandangkan kes harian Covid-19 semakin menular di Kelantan, majlis berbuka puasa tidak dapat diadakan.

“Kita hanya menjemput 10 NGO sahaja hadir menerima sumbangan ini sebagai gimik pelancaran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -