Pedoman Al-Quran: Memartabatkan sumber halal lagi toyyib

- Advertisement -

PENGHAYATAN ayat Al-Quran hari ini meneliti berkaitan sumber halal yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia tersangat meluas. Oleh itu, umat Islam hendaklah menumpukan kepada mengambil sumber halal dengan tidak melampaui batas terjebak dengan sumber haram. Firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحَرِّمُوا۟ طَیِّبَـٰتِ مَاۤ أَحَلَّ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِینَ.

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan perkara baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Al-Maidah: 87)

Umat Islam hendaklah memartabatkan institusi halal dalam komuniti masyarakat Islam. Pengambilan makanan syubhah dan haram akan memberi kesan besar terhadap pembangunan kerohanian, di samping menjejaskan pembentukan akhlak seseorang.

- Advertisement -

Islam tidak hanya menekankan soal pemakanan halal sahaja, tetapi ia termasuklah juga hak pemilikan harta, perundangan, sistem pemerintahan, kesenian, kebudayaan, hiburan, sukan, perdagangan dan pergaulan mesti mematuhi batas halal dan haram yang digariskan syariat. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعتَدُوهَا وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنتَهِكُوهَا وَسَكَتَ عَن أَشيَاءَ رَحْمَةً بِكُم غَيرَ نِسيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah SWT telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa barangan, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa perkara sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu ingin menelitinya lagi”. (Riwayat Thabarani)

Sudah sampai masanya umat Islam menggemblengkan tenaga bagi merubah orientasi dunia agar produk halal keluaran orang Islam sendiri mendominasi dunia dagangan di negara ini dan antarabangsa. Di peringkat Kerajaan Negeri Kelantan, kita telah mensasarkan untuk muncul sebagai jelapang makanan negara dan yang terlebih penting menjadi pusat pengeluaran produk halal terkemuka.

Dalam membangunkan industri halal, perlu ditekankan agar umat Islam dapat mengambil makanan serta minuman yang mendapat pensijilan halal yang diiktiraf. Malah melalui aplikasi Verify Halal dibangunkan JAKIM, pengguna kini boleh menyemak status halal dengan mudah melalui aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing.

Dengan itu, pengguna akan dapat menentukan status makanan juga minuman tanpa waswas. Pada masa yang sama, mereka juga dapat menghindari daripada unsur syubhat dan haram.

Prosedur mengeluarkan produk halal mesti dikawal dengan rapi supaya tidak diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam perkara 4.5 (g) Prosedur Pensijilan Halal Malaysia ada menyatakan: Permohonan pensijilan halal ditolak sekiranya menggunakan perkataan atau nama yang sinonim dengan perkara yang haram seperti bak kut teh dan sebagainya.

Oleh itu, usaha meluaskan sektor halal dengan pelbagai jenama hendaklah disokong sepenuhnya serta diberi galakan oleh pihak berwajib. Sementara itu, segala barangan yang tidak halal dengan menggunakan logo halal dan produk yang syubhah perlu disekat tanpa sebarang kompromi.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
07 Ramadhan 1442/19 April 2021 – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -