Ramadan bulan Al-Quran

Foto hiasan.
- Advertisement -

AL-QURANUL Karim diturunkan pada bulan Ramadan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan manjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan di antara yang benar dengan yang salah.” (Al Baqarah: 186)

- Advertisement -

Lebih khusus lagi Al Quran diturunkan pada Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al Quran) ini dalam malam Lailatul Qadar. ” (Al Qadr: 1)

Lailatul Qadar adalah satu malam yang penuh kemuliaan, keberkatan dan keagongan kerana ianya lebih afdhal daripada malam Jumaat. Sesiapa yang bangun dan beramal pada malam tersebut adalah lebih baik daripada beramal dalam seribu bulan. Firman Allah yang bermaksud: “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Al Qadr: 3)

Ulama berselisih pandangan mengenai malam Lailatul Qadar itu bila akan berlaku tetapi ialah berlaku pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan. Bagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Carilah (Lailatul Qadar) itu pada tanggal sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, di malam yang ganjil.” (Bukhari dan Muslim)

Pandangan yang lebih kuat mengatakan Lailatul Qadar akan berlaku pada tanggal 27 Ramadan. Ubai bin Ka’ab menyatakan bahawa sesungguhnya Ibnu Mas’ud telah mengetahui iaitu berlaku pada bulan Ramadan pada tanggal 27 Ramadan tetapi beliau tidak suka memberitahu kamu.”  (At Tarmizi – Sunan)

Dan hadis riwayat Ibnu Umar menyebut: Barang siapa yang hendak mencari, carilah pada malam 27 Ramadan. (Imam Ahmad bin Hanbal-Masnud).

Apa yang penting bagi kita umat Muhammad hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Lailatul Qadar yang mana fadhilatnya terlalu besar.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Barangsiapa yang membangunkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasannya diampunkan dosanya, yang lalu.” (Al Bukhari, Daud dan Tarmizi)

Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w apabila masuk tanggal sepuluh terakhir dari bulan Ramadan akan menghidupkan Ramadan dan bangunkan kaum keluarganya daripada tidur.(Bukhari dan Muslim)

Disembunyikan masa malam Lailatul Qadar secara tepat antara hikmanya ialah supaya umat Islam berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya dan bermujahadah dalam beribadat dengan penuh keinginan untuk mendapat keredhaan dan keampunan Allah SWT.

Umat Islam digalakkan bermohon disepanjang malam Ramadan dan khususnya pada malam-malam Lailatul Qadar dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Ya Allah, Engkau Maha Pengampun yang suka mengampunkan maka ampunkanlah daku.

Syadatina Aisyah radiallahu anha, Ya Rasulullah… apakah yang aku nak bermohon jika aku bertemu Lailatul Qadar.

Nabi s.a.w menjawab ucapkanlah…”Allahuma Innaka Aff wuun Tuhibbul A’fwa Fa’fu A’nni…”  (Sanad Imam Ahmad, Sunai Al Basani Al Hakim Tarmizi).

Sempena Ramadan sebagai bulan Al Quran Nabi Muhammad s.a.w menggalakkan umatnya supaya banyak-banyak membaca Al Quran di bulan Ramadan ini kerana kelebihan yang Allah kurniakan berlipat ganda dibandingkan dengan yang lain daripada Ramadan.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa yang membaca setiap huruf daripada Al Quran baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak cakap (Alim Lam Mim) satu huruf tetapi Alif satu huruf Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (At Tarmizi-Sunan)

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya: “Bacalah kamu Al Quran sesungguhnya Al Quran pada hari kiamat akan datang memberi syafaat kepada pembacanya.” (Muslim, sahih)

Daripada Usman bin Affan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al Quran dan yang mengajar Al Quran kepada orang lain.” (Al Bukhari – sahih)

Dan banyak lagi hadis-hadis Nabi yang menjelaskan tentang kelebihan membaca Al Quran lebih-lebih lagi jika dibaca pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

Selain daripada amalan membaca Al Quran yang sebaik-baiknya pada bulan Ramadan ialah Tadarus Al Quran dalam erti kata lain Al Quran dibaca dalam kumpulan dua orang dan lebih secara bergilir-gilir iaitu seorang membaca dan yang lain menyemaknya dan jika ada buat kesilapan yang mendengar akan menegur si pembaca.

Ibnu Abas menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling pemurah dan kemurahan Nabi itu berlaku pada bulan Ramadan. Ketika bertemu dengan Malaikat Jibril.

Jibril menemui Nabi s.a.w pada tiap-tiap malam Ramadan dan mereka berdua bertadarus Al Quran. Maka bagi Rasulullah s.a.w ketika bertemu Jibril paling pemurah dengan kebaikan lebih dari angin lepas. (Muttafaq ‘Alaih)

Ramai dikalangan umat Islam yang menyalahgunakan perkataan membahagikan bacaan Al Quran dengan masing-masing membaca bersendirian di rumah dengan tujuan untuk mencepatkan khatam Al Quran dan seterusnya mengadakan majlis Khatam Al Quran.

Seeloknya hendaklah bertadarus seperti yang dilakukan antara Nabi Muhammad s.a.w dan Malaikat Jibril iaitu bila Jibril membaca Al Quran, Nabi menyemaknya dan sebaliknya bila Nabi Muhammad s.a.w membacanya maka Malaikat Jibril akan mendengar dan menyemak bacaan Nabi s.a.w. – HARAKAHDAILY 18/4/2021

- Advertisement -