Negara Islam D-8: Mengapa tidak boleh?

PERTUBUHAN Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8 Organization for Economic Cooperation) telah ditubuhkan pada tahun 1997 yang dianggotai oleh Turki, Iran, Pakistan, Mesir, Indonesia, Malaysia, Nigeria dan Bangladesh.

Negara-negara ini mempunyai sejumlah penduduk mencecah angka 1 billion rakyat yang mewakili 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia. Setiap negara memiliki sumber ekonomi, tenaga manusia, kepakaran dan kedudukan strategik dalam peta dunia.

Pembentukan D-8 merupakan satu inisiatif bagi mengumpulkan sejumlah negara umat Islam. Ia ditubuhkan selepas kejatuhan kuasa besar Islam pada abad lalu disebabkan oleh kelemahan dalam mengamalkan ajaran Islam dan angkara penjajahan Perang Salib yang telah ditelan zaman kini kerana tidak berperikemanusiaan.

Advertisement

Langkah untuk mengembalikan semula Islam tidak sepatutnya menjadi masalah, kerana Islam merupakan tamadun yang paling berjasa kepada tamadun manusia pada abad ini.

Kedatangan Islam adalah demi kebaikan bersama yang sepatutnya diterima secara positif oleh semua pihak. Zaman monopoli penjajah sudah berlalu, dan tanah jajahan sudah diberikan kemerdekaan dan berdaulat.

Terdapat kumpulan G8 yang dianggotai oleh lapan buah negara maju iaitu Amerika Syarikat, Itali, Jepun, Kanada, Perancis, Rusia, dan United Kingdom. Dahulunya dikenali dengan kumpulan G7 sahaja tanpa Kanada. Selain itu, terdapat juga pakatan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) dalam kalangan negara Eropah Barat.

Jika negara-negara Blok Barat boleh menubuhkan pakatan ketenteraan yang dikenali dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), manakala negara-negara Blok Timur menubuhkan pakatan ketenteraan yang dinamakan dengan Pakatan Warsaw. Pada masa yang sama, terdapat gabungan Blok Soviet dan China. Pakatan yang saling cabar mencabar antara satu sama lain dan boleh menggugat keamanan dunia.

Apakah salahnya diadakan satu pakatan antara negara umat Islam, selepas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dilihat terhad peranannya? Tujuan kerjasama D-8 lebih menumpukan kepada kerjasama kemanusiaan, ekonomi dan keamanan.

Kumpulan negara Islam D-8 pada awalnya menunjukkan beberapa inisiatif dalam aspek kerjasama ekonomi dan teknologi. Kerjasama dapat diwujudkan walaupun terdapat perbezaan ideologi politik, kesan daripada zaman penjajahan di negara masing-masing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Persaudaraan Islam dapat dijalinkan atas semangat persaudaraan seagama yang masih wujud dan iman yang masih berdenyut dalam hati masing-masing, walaupun berbeza fahaman ideologi dan pendekatan akibat daripada kesan penjajahan yang zalim terhadap dunia Islam. Oleh itu, berlaku anjakan paradigma yang menginginkan perubahan dan pembaharuan kerjasama dalam kalangan negara Islam.

Kedengaran suara-suara yang mahu memperkenalkan mata wang Dinar bagi dunia Islam untuk menggantikan kebergantungan kepada mata wang Dolar Amerika dan Euro. Kedua-dua mata wang yang terlalu banyak permainannya terhadap negara-negara miskin dan negara sedang membangun.

Langkah yang diambil dengan menubuhkan D-8 bertujuan untuk memanfaatkan kedudukan sumber ekonomi negara umat Islam yang lebih kukuh berbanding dengan negara-negara lain. Hal ini penting supaya ia lebih bermanfaat kepada umat Islam sendiri, tanpa menafikan hubungan dengan semua pihak yang bersahabat dengan negara-negara umat Islam.

Pada masa yang sama, wujud tanda-tanda dalam kerjasama politik bagi membantu saudara seagama yang masih dijajah di beberapa tempat di dunia hari ini seperti Palestin, Kashmir, Bosnia, Rohingya dan lain-lain. Kerjasama ini menjadi agenda hak asasi manusia dan hak kemerdekaan yang diterima oleh seluruh masyarakat antarabangsa yang insaf dan adil.

Kumpulan D-8 ialah satu kerjasama yang berhak dan adil, sepatutnya dibolehkan kepada umat Islam yang menjadi sebahagian besar daripada penduduk dunia. Kerjasama yang bergerak tanpa mengganggu sesiapa dan mana-mana negara yang berdaulat dan sama-sama berusaha ke arah perdamaian dunia yang aman. Bahkan saling berkerjasama dalam konteks masyarakat Madani yang lebih besar dan luas.

Namun, pada hari ini masih ada perasaan permusuhan serta dengki terhadap Islam dan penganutnya secara khusus. Maka, kelihatan dengan nyata langkah-langkah bagi menggagalkan usaha ini seperti meminggirkan peranan OIC supaya menjadi lemah atau terus mematikannya.

Cara kasar yang dapat dilihat dengan nyata digunakan oleh mereka, atau cara halus yang dapat dilihat dengan mata kasar, betapa ia satu fahaman yang tidak adil dan ‘double standard’ yang paling jahat terhadap Islam.

Pada mulanya, mereka menjajah tanah air umat Islam dengan merompak, memperhambakan rakyat dan merampas khazanah buminya, semata-mata untuk kemajuan dan monopoli kekayaan bagi mereka sahaja. Mereka hanya merosakkan dunia lebih banyak daripada membangunkannya. Mereka telah melupakan jasa dan sumbangan tamadun Islam, yang memberikan ilmu sains dan teknologi kepada mereka dan dunia seluruhnya.

Adakah tanah air umat Islam hanya layak menjadi medan perang sesama mereka atau medan ujian senjata pemusnah yang diciptakan oleh Barat?

Adakah hasil bumi yang banyak di negara umat Islam menjadi hak milik Barat yang menjadi rebutan sesama mereka?

Hubungan antarabangsa berkonsepkan perdamaian adalah keutamaan dalam Islam, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٦١ وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ٦٢﴾

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61); Dan jika mereka bertujuan hendak menipu dirimu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62).” (Surah al-Anfal: 61-62)

Ayat ini menjelaskan tentang polisi dan pendekatan yang berkekekalan mengikut petunjuk al-Quran, ketika umat Islam dalam keadaan lemah dan kuat. Namun, slogan Islamofobia yang menuduh Islam tanpa hujah dan logik akal yang sihat terus menghantui negara yang dikatakan bertamadun dan memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi yang berpura-pura sahaja. Maka, apa sahaja agenda yang berjenama Islam pasti akan ditentang habis-habisan oleh mereka.

Lebih malang lagi, ada pula sebahagian dalam kalangan negara umat Islam yang bersikap negatif terhadap kumpulan D-8.

Masalah umat Islam kini ialah meninggalkan petunjuk al-Quran. Ada dalam kalangan mereka yang boleh dicaturkan oleh musuh dengan mudah, bagi menjatuhkan dan menggulingkan umat Islam sesama sendiri mengikut agenda percaturan musuh.

Musuh hanya menggunakan sedikit perbezaan dalaman sesama umat Islam, sehingga hilangnya kesabaran dalam diri masing-masing dan rapuhnya hubungan persaudaraan sesama Islam. Malah terdapat pula mereka dengan nyata menormalisasi musuh yang paling ganas terhadap umat Islam.

Lebih malang lagi, terdapat dalam kalangan mereka itu bersedia menjadi alat untuk menggagalkan matlamat D-8 yang diatur sebegitu rupa demi kebaikan dan kemajuan mereka sendiri. Mereka berusaha menggagalkan sebarang usaha untuk mengaktifkan D-8 melalui Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) antara empat buah negara yang dikecilkan jumlahnya, bagi memudahkan masing-masing bergerak secara aktif dan usaha dalam mengaktifkan semula D-8.

Mereka yang bersikap negatif itu memberikan alasan yang sangat dangkal dan masalah yang terlalu remeh. Lebih terang lagi bersuluh, sekiranya dibaca kenyataan media beberapa negara tersebut yang jelas menunjukkan mereka itu laksana kerbau yang dicucuk hidung, boleh diheret untuk menjadi perahan susu, membajak tanah, dilagakan sesama kerbau dan disembelih apabila perlu.

Benarlah berlaku apa yang pernah dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, sabdanya:

‌”يُوشِكُ ‌الْأُمَمُ ‌أَنْ ‌تَدَاعَى ‌عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا”، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: “بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ”، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: “حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.”

“Tiba masanya ketika musuh kalian melingkungi kalian laksana melingkungi hidangan yang lazat dengan rakus.” Seorang sahabat lalu bertanya: “Adakah kerana jumlah (bilangan kita) sedikit pada masa itu?” Sabda Rasulullah SAW: “Bahkan jumlah kalian ramai, tetapi laksana sampah dan buih yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah mencabut kehebatan kalian yang dirasakan oleh musuh dan dicampak ke dalam diri kalian penyakit wahan (lemah dan hina).” Kemudian seorang sahabat bertanya: “Apakah rupa penyakit itu?” Sabda Rasulullah SAW: “Terlalu cintakan dunia (sehingga tamak dan rakus) dan terlalu takutkan mati.” (Riwayat Abu Dawud 4297 dan Ahmad 22397)

Ya, yang paling takut ialah negara Islam paling kaya-raya harta dan banyak maksiatnya.

Padahal al-Quran telah menunjukkan cara membaca percaturan politik antarabangsa, agama dan kaum kepada Rasulullah SAW. Perkara tersebut menjadi teladan kepada umatnya. Firman Allah SWT:

﴿الم١ غُلِبَتِ الرُّومُ٢ فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ٣ فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ٤﴾

“Alif, Laam, Miim. (1); Bangsa Rom telah dikalahkan. (2); Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahan itu akan mengalahkan lawannya semula. (3); Dalam tempoh masa beberapa tahun. Kepada Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya (mereka memenangi perperangan); dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. (4).” (Surah al-Rum: 1-4)

Ayat-ayat ini menceritakan tentang percaturan politik antarabangsa yang berlaku pada zaman Baginda SAW antara dua buah kuasa besar yang kedua-duanya bermusuh terhadap Islam. Perbezaannya Rom menganut agama Kitab dan pengikut Rasul-Nya terdahulu, manakala Parsi pula menganut agama Majusi Musyrikin yang tiada kitab dan menjadikannya lebih sesat dibandingkan dengan Rom.

Maka, Rasulullah SAW dan para sahabat lebih mengharapkan agar Rom mendapat kemenangan apabila mereka diejek oleh kalangan Musyrikin Makkah. Tiba-tiba, Allah SWT mengesahkan pendirian dan sikap mereka itu, seterusnya menjanjikan kemenangan yang akan dicapai semula oleh Rom. Sebagaimana Allah SWT berfirman:

﴿لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ٨٢ وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ٨٣ وَمَا لَنَا لَا نُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا جَاءَنَا مِنَ الْحَقِّ وَنَطْمَعُ أَنْ يُدْخِلَنَا رَبُّنَا مَعَ الْقَوْمِ الصَّالِحِينَ٨٤ فَأَثَابَهُمُ اللَّهُ بِمَا قَالُوا جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْمُحْسِنِينَ٨٥﴾

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mendapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan mendapati bahawa orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani’ yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka para pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong. (82); Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) daripada kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: ‘Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW).’ (83); ‘Dan tiada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh.’ (84); Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal tinggal di dalamnya. Dan yang demikian itu, merupakan balasan bagi orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan. (85).” (Surah al-Ma’idah: 82-85)

Rasulullah SAW juga mengambil pendekatan mengadakan ‘tahaluf’ (kerjasama atau pakatan) bersama kaum Yahudi yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk di Madinah, dan juga Musyrikin yang tidak ekstrem seperti Bani Khuza’ah dan lain-lain. Begitu juga dengan wilayah Habsyah dan Najran daripada kalangan penganut Kristian yang berdamai, termasuklah mengadakan hubungan yang baik dengan Raja Mesir yang beragama Kristian.

Pada akhirnya, Baginda SAW menghadapi Rom Timur (Byzantine) dan Parsi dengan strategi ketenteraan. Seterusnya pula, menerima wakil Parsi di Yaman dengan baik dan berakhir dengan menganut Islam secara rela hati. Ketika zaman pemerintahan mutakhir, Islam terus melakukan perdamaian dengan negara China yang besar dan Islam memasuki ke China sejak zaman Rasulullah SAW.

Pengaruh Islam menembus masuk ke Eropah sehingga menegakkan negara bertamadun di Selatan Eropah dan Asia Tengah, sehingga pengaruhnya masuk ke Asia Tenggara melalui perdagangan dan perdamaian. Adapun semua peperangan yang terpaksa dilakukan itu kerana pencerobohan dan kezaliman, seperti kepungan yang dilakukan oleh Parsi dan Rom pada zaman dahulu, Perang Salib dan penjajahan pada zaman mutakhir.

Maka, sikap permusuhan yang berlaku pada zaman mutakhir semata-mata akibat fobia terhadap Islam yang benar dan adil, di mana penganutnya menjadi mangsa yang tidak bersalah. Fobia adalah satu gejala yang tidak berasaskan logik akal dan tidak beretika dalam hubungan antarabangsa dan negara.

Adapun perpecahan dalam kalangan negara umat Islam berlaku, akibat daripada mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh musuh Islam terhadap bahaya Turki ‘Uthmaniyyah yang disamakan dengan Musyrikin Quraisy dan Syiah Iran disamakan dengan Majusi yang telah lama ditelan sejarah. Sedangkan Islam telah berjaya menukarkan bangsa Turki dan Parsi kepada sebuah bangsa yang paling berjasa kepada Islam.

Malangnya, kitab kuning yang klasik disalahgunakan tanpa berfeqah, tidak sama seperti pengarangnya yang mengikut petunjuk al-Quran dan kebijaksanaan hadis Rasulullah SAW sepertimana yang dinyatakan itu. Sehingga, ia mengheret dalam kalangan agamawan yang tidak bertafaqquh dan nyata buta al-Quran, ke dalam kancah perpecahan dan perang proksi oleh musuh yang nyata kepada Islam dan penganutnya.

Sehingga berlakulah perkara yang telah diberikan amaran oleh Rasululah SAW melalui sabdanya:

لَا ‌تَرْجِعُوا ‌بَعْدِي ‌كُفَّارًا ‌يَضْرِبُ ‌بَعْضُكُمْ ‌رِقَابَ ‌بَعْضٍ.

“Jangan sekali-kali kalian menyeleweng selepas ketiadaanku (wafat), sehinggalah kalian berperang dengan memancung leher sesama kalian.” (Riwayat al-Bukhari 4403)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Ramadhan 1442 / 14 April 2021 – HARAKAHDAILY 14/4/2021