INILAH yang kami cuba usahakan melalui Manhaj Rabbani. Sebelum Persidangan Meja Bulat Manhaj Rabbani ini dilakukan di Putrajaya Isnin lepas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sejak awal lagi telah menitipkan pesan agar menjadikan tsaqafah atau pembudayaan ilmu Islam sebagai teras utama kepada konsep Rabbani.
Inilah cabaran kita sejak sekian lama terperangkap dengan sistem peninggalan penjajah. Anak-anak muda kita hari ini ramai yang mula mendapat kesedaran agama. Saya amat kasihan melihat sebahagian daripada mereka yang tidak mempunyai ilmu asas pendidikan agama ketika di sekolah, kemudiannya terpaksa mencari-cari sendiri ilmu agama melalui sumber-sumber media dalam talian.
Mereka belajar ilmu agama secara terpisah dengan ilmu-ilmu dunia yang pernah mereka pelajari, menyebabkan banyak salah faham mengenai cara pandang mereka mengenai Islam. Insya-Allah, melalui teras pertama Manhaj Rabbani iaitu ‘tsaqafah’ atau ilmu, kita akan cuba menumpukan usaha ke arah mengintegrasikan kembali ilmu yang telah dipisah-pisahkan oleh Barat, termasuklah dalam ilmu pentadbiran dan tata kelola pemerintahan kerajaan.
Selain itu, kita turut menetapkan akhlak sebagai teras kedua melihat kepada kepentingan integriti dalam isu urus tadbir. Bagi menghindarkan Manhaj Rabbani menjadi semata-mata teori dan perbincangan, aspek dakwah atau aktivisme turut dijadikan teras yang akan memandu manhaj ini ke arah realiti pelaksanaannya.
Para ulamak, ahli akademik dan golongan profesional akan terus dilibatkan di peringkat semakan dan penambah baikan bagi memastikan dasar ini mampu dilaksanakan dalam sistem pentadbiran dan kehidupan masyarakat keseluruhannya. Kami amat mengharapkan doa sahabat-sahabat sekalian agar Manhaj Rabbani yang akan diperkenalkan ini dapat diterima dengan baik oleh semua agensi kerajaan dan segenap lapisan masyarakat.
YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 9/4/2021