Isu pengangkutan dekat di hati rakyat

Foto hiasan.
- Advertisement -

HARGA kereta yang murah adalah di antara janji manifesto pilihan raya yang paling menarik. Ini tidak menghairankan kerana di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang kereta adalah satu keperluan. Sama ada untuk pergi ke tempa kerja atau urusan seharian, kereta adalah bentuk mengangkutan yang paling penting selain dari motorsikal.

Walaupun terdapat sistem pengangkutan awam yang bernilai berbilion ringgit namun ia masih belum berupaya untuk membawa ke kita semua tempat dengan cepat. Semasa saya bekerja di Lembah Pantai dahulu, saya pernah cuba menaiki pengangkutan awam kerana menyahut saranan Menteri. Akhirnya saya perlu bertukar bas dan LRT sebanyak 3 kali dan mengambil masa satu setengah jam ke tempat kerja. Jika menaiki kereta saya akan mengambil masa kurang dari satu jam dari Ampang.

Mungkin jika anda tinggal di Ampang, Petaling Jaya atau Kajang dan bekerja di pusat bandaraya Kuala Lumpur pengangkutan awam seperti LRT dan MRT adalah paling sesuai untuk anda.

- Advertisement -

Kereta yang lebih murah penting kerana kos membeli kereta mengorbankan sebahagian besar dari pendapatan rakyat Malaysia. Justeru itu jika harga kereta rendah, mereka dapat menggunakan lebih banyak dari pendapatan mereka untuk perkara-perkara lain dalam kehidupan seperti pendidikan anak-anak, penjagaan kesihatan atau kediaman yang lebih selesa.

Ketika saya bekerja dahulu saya pernah membatalkan keputusan untuk membeli sebuah kereta buatan Korea kerana mendapati harganya di Amerika kurang separuh dari harga di Malaysia. Saya rasa tertipu jika membelinya jadi saya telah membeli kereta tempatan yang terpakai.

Walau bagaimanapun ada pula yang berpandangan dengan harga kereta yang lebih murah akan mengakibatkan peningkatan bilangan kereta di jalan raya. Ia juga akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar kerana bertambahnya pelepasan gas karbon monoksida. Dalam keadaan harga kereta yang mahal, jalan-jalan kita telah sesak maka jika diturunkan harga kereta kesesakan akan bertambah.

Kalau kita pergi meninjau ke pembangunan berstrata sama ada kos rendah, kos sederhana malah kos tinggi kita akan melihat penduduk meletakkan kereta mereka di jalan-jalan di sekitar pembangunan mereka. Ada kawasan yang terlalu kritikal sehingga berlaku pergaduhan di kalangan penduduk atau kenderaan seperti ambulan tidak dapat masuk dan pernah berlaku kematian akibatnya.

Pada saya kesesakan jalan raya dan kekurangan tempat letak kereta di pembangunan berstrata merupakan 2 isu yang berbeza dari harga kereta. Kedua-dua masalah ini merupakan isu perancangan bandar. Ia perlu ditangani melalui penyelesaian perancangan bandar. Selain dari itu penguatkuasaan juga perlu diperketatkan untuk memastikan tidak terdapat kenderaan yang diletakkan bersepah di jalan-jalan awam.

Setiap unit kediaman yang dijual adalah bersekali dengan tempat letak kereta ( TLK ) masing-masing. Untuk kediaman kos rendah, setiap kediaman diperuntukkan 1 TLK. Untuk kos-kos sederhana ke atas mungkin 2 atau lebih TLK. Terdapat pembangunan yang mengenakan caj sekiranya pemilik memerlukan TLK tambahan. Walau bagaimanapun terdapat pemilik yang tidak mahu membayar caj tambahan lalu meletakkan kereta di jalan-jalan awam.

Ketika saya Exco Perumahan Negeri Selangor saya telah mencadangkan agar unit kediaman yang dijual adalah dengan pilihan bilangan TLK. Ada yang bersekali dengan 2 TLK, ada pula yang dengan 3 TLK, kesemuanya menurut keperluan pembeli. Justeru itu harga jualan unit-unit adalah berbeza. Walau bagaimanapun usaha ini tidak akan berjaya sekiranya tidak ada ketegasan dari pihak Polis atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Walau bagaimanapun kerajaan boleh menetapkan kereta yang berharga murah hanya untuk kereta pertama Konsepnya serupa dengan pembelian rumah kos rendah di mana setiap keluarga hanya layak membeli satu rumah kos rendah. Ini dapat mengawal pembelian kereta oleh mereka yang tidak digunakan untuk urusan kerja atau urusan seharian yang lain.

Di suatu masa dahulu pernah ada cadangan untuk mengenakan caj kesesakan ( congestion charges ) ke atas kenderaan-kenderaan yang menggunakan jalan-jalan tertentu di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun cadangan tersebut telah dibatalkan.

Di bandaraya seperti London, caj kesesakan ini dikenakan ke atas kereta yang melalui jalan-jalan tertentu di pusat bandaraya. Tujuannya adalah untuk mengurangkan kenderaan di pusat bandaraya. Di London hari ini, caj itu adalah 15 pound sehari jika anda memandu di antara jam 7.00 pagi dan 10.00 malam. Kamera akan merekodkan kenderaan yang memasuki zon tersebut dan dapat membaca sama ada anda telah membayar caj atau tidak. Lima tahun lepas saya telah disaman kerana memandu ke dalam zon seperti itu.

Secara ideal peratus penggunaan pengangkutan awam hendaklah ditingkatkan. Buat masa ini peratusan rakyat Malaysia yang menggunakan pengangkutan awam hanya 20 peratus. Dasar Pengangkutan Negara ( DPN ) 2019-2030 mensasarkan peratus ini ditingkatkan kepada 40 peratus dalam 2030. Adalah menjadi tugas kerajaan untuk mewujudkan rangkaian pengangkutan awam yang lengkap dan inklusif.

Selain dari DPN, negara kita juga ada Dasar Automotif Negara ( DAN ) 2020. DAN bertujuan untuk menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam pembuatan, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan sektor automotif. Sementara salah satu dari 23 strategi DPN adalah menjadikan pengangkutan awam sebagai teras kepada pertumbuhan perancangan spatial dan pengangkutan yang mampan di kawasan bandar. Mungkin nampak seperti terdapat pertembungan. Justeru itu DPN dan DAN perlu diharmonikan.

Tujuan artikel ini adalah untuk membuka minda dan mencetuskan perbincangan. Ia bukan bertujuan untuk membentang sebarang penyelesaian yang muktamad. Hari ini kita terlampau sibuk memikirkan tentang bentuk pakatan politik pada pilihan raya umum yang akan datang. Walau bagaimanapun isu pengangkutan yang dekat di hati rakyat kurang mendapat tempat di hati-hati orang politik kecuali ketika pilihan raya. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

Penulis ialah Bendahari PAS Pusat.

- Advertisement -