550 sukarelawan bantu program imunisasi Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Belia dan Sukan Kelantan melantik seramai 550 Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) bagi membantu pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Exco Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, sukarelawan itu ditugaskan sebagai pemudahcara serta membantu barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menurutnya MyVac menyediakan wadah kepada belia untuk turut terlibat serta membantu kerajaan melaksanakan kempen secara sistematik dan teratur di 10 jajahan di Kelantan.

- Advertisement -

“Usaha melalui MyVac dapat melahirkan sukarelawan yang prihatin, bertanggungjawab terhadap agenda dan usaha kerajaan bagi menyekat penularan Covid-19 dalam komuniti,” katanya di sini semalam.

Beliau ditemui selepas majlis bersama sukarelawan MyVac di Kompleks Belia dan Sukan Panji.

Wan Roslan juga berharap rakyat Kelantan mendaftar segera di bawah program imunisasi Covid-19 supaya penularan wabak Covid-19 dapat dilandaikan lebih awal.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari lepas apabila Perdana Menteri menerima suntikan vaksin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11.

Fasa pertama itu sehingga April ini melibatkan kumpulan petugas barisan hadapan dan kepimpinan kerajaan. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -