Nikmat tertinggi ialah nikmat Islam

- Advertisement -

SESUNGGUHNYA nikmat Allah SWT yang diberikan kepada manusia amat banyak, tidak terhitung banyaknya. Allah SWT telah melimpahkan kurnia yang terlalu banyak kepada umat manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya tidak terkira sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi engkar.” (Ibrahim: 34)

Bagi seorang yang beriman ia sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan kerana urusan seorang mukmin semuanya baik baginya dan tidak ada siapa yang sebegitu melainkan bagi seorang mukmin. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur maka adalah baik baginya dan jika ditimpakan kesusahan dia bersabar maka adalah baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Di antara nikmat-nikmat yang tertinggi daripada semua nikmat itu ialah nikmat Islam kerana dengan Islam lah Allah SWT menyempurnakan agama (Ad Deen) melengkapi nikmatnya buat kita, dan reda dengan Islam sebagai agama kita kerana Islam adalah penutup kepada semua agama.

- Advertisement -

Manakala Muhammad Rasulullah s.a.w adalah penutup para Nabi dan Rasul untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak, di atas kedua tangan baginda Rasulullah s.a.w itu lengkaplah kurniaan yang agung dan sempurnalah sudah agama Allah.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku lengkapkan bagi kamu nikmat Ku dan Aku pun reda Islam sebagai agama kamu.” (Al Maidah: 3)

Selain daripada itu Allah memberikan nikmat akal, nikmat penglihatan, nikmat pendengaran, nikmat percakapan, anggota tubuh badan dan lain-lain. Semua itu tidak mungkin boleh dihitung.

Allah SWT juga memberikan nikmat kepada kita dengan dijadikan kita dengan sebaik-baik ciptaan iaitu sebagai manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (At-Tin: 4)

Di samping itu Allah telah memberikan berbagai-bagai kebaikan di langit dan di bumi, siang dan malam, musim sejuk dan musim panas dan segala yang ada di daratan dan di lautan semua itu merupakan nikmat Allah.

Begitu juga jika seorang hamba Allah memohon kepada Tuhannya dia pun akan memakbulkannya.

Allah juga akan menjawab dan menunaikan apa yang dipohon. Perlu diingatkan bahawa anugerah Allah kepada manusia amat banyak tetapi apa yang dimuliakan oleh Allah tidak akan berkurangan sedikit pun.

Bagi kita manusia sebagai hamba Allah yang mesti dilakukan ialah dengan bersyukur kepadaNya dan dengan bersyukur kepada Allah akan menambahkan dan melengkapkan kurniaan yang Allah limpahkannya.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur nescaya kami menambahkan (kurniaan) kepada kamu.” (Ibrahim: 7)

Maka menjadi kewajiban kepada setiap muslim dan muslimah mengikuti jalan kebenaran iaitu dengan menambahkan ibadahnya, muamalat dan penggunaan harta dengan cara yang betul dan halal.

Atau dengan kata lain mesti bertindak atas petunjuk ilmu, hidayah dan dengan istiqamah.

Kesimpulannya bahawa atas nikmat kurniaan Allah itu mesti disyukuri dan dalam setiap hubungan antara sesama manusia sangat perlukan jalan yang lurus dan benar. Sehingga seorang Muslim itu boleh menjadi kemenangan di dunia dan di akhirat.

Dengan itu Allah akan membukakan seluas-luasnya pintu barakah kepadanya dari langit dan bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Allah berfirman lagi) sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah ruah barakahnya dari langit dan bumi…(Al A’raaf: 96) – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -