Sahihkah dapatan tinjauan atas talian?

- Advertisement -

KAEDAH utama pemerolehan data bagi kajian QGA adalah melalui kajian lapangan secara bersemuka di mana responden akan mengisi borang soal selidik yang disediakan mengikut format yang telah ditetapkan.

QGA juga mematuhi tatacara saintifik dalam persampelan dan penetapan saiz sampel biarpun terdapat segelintir pihak yang menimbulkan pelbagai isu berhubung perkara ini. Sila rujuk posting ini untuk mengetahui bagaimana menentukan saiz sampel untuk tujuan penyelidikan: https://www.facebook.com/2284919521796917/posts/2846516745637189/

- Advertisement -

Pada 27 Februari 2021 yang lalu, QGA telah melancarkan kajian tinjauan secara online atau atas talian kepada umum bagi mengetahui sejauh manakah keberkesanan kaedah ini. Ternyata kajian ini telah berdepan dengan cabaran disabotaj dan dimanipulasi oleh responden yang mempunyai kepentingan tertentu dan seterusnya membawa kepada keraguan terhadap kesahihan dapatan kajian.

Walau bagaimanapun, kajian tinjauan secara atas talian atau online pada 27 Februari 2021 tersebut telah mendapat sekitar 6,000 responden. Berkaitan dengan isu ini, QGA pernah mengeluarkan imbasan laporan berkenaan aktiviti cybertrooper di Malaysia. Ianya menceritakan:

1) Bagaimanakah cybertrooper memanipulasi sosial media?
2) Apakah platform popular yang digunakan oleh cybertrooper?
3) Adakah cybertrooper mendapat dana dari pihak tertentu?
4) Apakah strategi mesej dan komunikasi yang digunakan oleh cybertrooper?
5) Adakah cybertrooper diberi latihan dan mendapat dana dari pihak tertentu?

Boleh baca di sini: https://www.facebook.com/2284919521796917/posts/2768039583484906/

Untuk makluman, QGA adalah kumpulan penyelidik yang bebas daripada mana-mana pihak berkepentingan dan mempunyai visi untuk berkongsi dapatan daripada analisis kajian atau penyelidikan rintis yang dijalankan oleh QGA kepada semua pihak melalui kajian yang berimpak, pemikiran kritis dan perbincangan yang matang.

Bersemuka atau atas talian?

Terdapat beberapa kaedah dalam pengumpulan data bagi menjalankan kajian tinjauan. Kaedah yang biasa digunakan adalah melalui kajian bersemuka dan panggilan telefon serta secara atas talian.

Kajian bersemuka

Kajian secara bersemuka atau face-to-face melibatkan pengkaji mendapatkan jawapan responden secara bersemuka di lapangan. Umumnya, kaedah ini dikatakan lebih melibatkan interaksi serta berada dalam suasana yang kondusif bagi tujuan penyelidikan. Kaedah persampelan dapat dilaksanakan secara saintifik serta bersistematik dan pengkaji dapat melihat responden secara fizikal.

Walau bagaimanapun, beberapa kekurangan bagi kajian secara bersemuka adalah kos yang agak tinggi, ruang lingkup geografi yang agak terbatas serta mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan berbanding kaedah lain. (Holbrook, Geen & Krosnick, 2003; Alreck & Settle, 2004)

Kajian atas talian

Kaedah secara atas talian kian menjadi pilihan bagi para pengkaji. Walaupun menggunakan kaedah yang berlainan, pengkaji bertanggungjawab memastikan kaedah persampelan adalah secara saintifik sama ada ianya diadakan secara rawak mudah, rawak sistematik, berstrata mahupun kluster pelbagai peringkat.

Soal selidik biasanya dihantar kepada responden sama ada melalui email atau akaun sosial media. Kaedah ini dikatakan lebih mudah, cepat dan mampu menjangkau lebih ramai reponden dalam satu-satu masa. (Kellner, 2004; Duffy, Smith, Terhanian & Bremer, 2005)

Walau bagaimanapun, isu timbul apabila persampelan kaedah atas talian ini dijalankan secara ‘convenient sampling’atau ‘snowball sampling’. Ianya akan mendedahkan kajian kepada sampel yang bias serta tidak bersifat ‘representative’.

Terhanian (2003) mengulas bahawa soalsedik akan dijawab oleh mereka yang hanya di atas talian, mereka yang bersedia menjawab serta kemungkinan kepada golongan tertentu misalnya golongan muda atau lelaki.

Secara keseluruhan, literatur menunjukkan bahawa kajian secara bersemuka lebih bersifat representative diikuti dengan panggilan telefon sedangkan kajian melalui atas talian secara persampelan snowball mendedahkan kajian kepada responden yang tidak terkawal dan dapatan yang sangat bias serta tidak representative (Szolnoki & Hoffman, 2013; Chang & Krosnick, 2009).

Rujukan:

1) Alreck, P. & Settle, R. (2004). Survey research handbook (3 rd. ed.). Mc Graw Hill, New York

2) Chang, L. & Krosnick, J. A. (2009). National surveys via RDD telephone interviewing versus the internet: Comparing sample representativeness and response quality. Public Opinion Quarterly, 73(4), 641-678

3) Duffy, B., Smith, K., Terhanian, G. & Bremer, J. (2005). Comparing data from online and face-to-face surveys. International Journal of Market Research, 47(6), 615-639

4) Holbrook, A. L., Geen, M. C. & Krosnick, J. A. (2003). Telephone versus face-to-face interviewing of national probability samples with long questionnaires: Comparison of respondent satisfying and social desirability response bias. Public Opinion Quarterly, 67, 79-125

5) Kellner, P. (2004). Can online polls produce accurate findings. International Journal of Market Research, 46(1), 3-22

6) Szolnoki, G. & Hoffmann, D. (2013). Online, face-to-face and telephone surveys: Comparing different sampling methods in wine consumer research. Wine Economics and Policy 2. 57–66

7) Terhanian, G. 2003. The unfulfilled promise of internet research. In: MRS Conference Paper 37

QGENANALYSTS – HARAKAHDAILY 8/3/2021

https://www.facebook.com/2284919521796917/posts/2864452197176977/

https://www.facebook.com/2284919521796917/posts/2865156783773185/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -