Pam air sungai padam kebakaran di tempat pelupusan

- Advertisement -

TUMPAT: Sebanyak lapan pam digunakan bagi membanjiri kawasan pelupusan sampah di Kok Bedollah di sini yang terbakar sejak 18 hari lalu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, situasi itu dijangka selesai dalam masa dua hari lagi.

Katanya, kerja-kerja memadamkan api di bawah timbunan sampah setinggi 30 kaki kini berjalan lancar, di mana dianggarkan sekitar lima peratus lagi belum dipadam sepenuhnya.

- Advertisement -

“Kerja-kerja memadam kebakaran dan asap di tapak pelupusan sampah itu berjalan lancar. Kita menggunakan pam untuk menyedut air dari Sungai Pengkalan Nangka untuk banjirkan kawasan tersebut.

“Kerja membanjiri tapak pelupusan dilakukan agensi kerajaan dan kita menambah dua lagi pam menjadikan jumlah semuanya lapan pam,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Tumpat (MDT) hari ini.

Turut hadir Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Salahudin Sidik dan Setiausaha MDT, Mohd Khairil Hazmie Yusof.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi itu termasuk MDT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Tuan Mohd Saripudin menjelaskan, seramai 20 keluarga yang tinggal berhampiran dengan tapak terbabit kini dibenarkan pulang selepas indeks kualiti udara semakin baik.

Menurutnya, bacaan indeks udara di kawasan kini berada paras 97 dalam kategori sederhana dan kualiti udaranya semakin baik apabila kebakaran itu dijangka berakhir dalam tempoh dua hari lagi.

Penduduk terbabit sebelum ini dibenarkan tinggal di rumah penginapan milik MTD di Pantai Sri Tujuh bagi mengelakkan terhidu asap tebal di kawasan pelupusan sampah tersebut.

Kawasan pelupusan itu yang beroperasi sejak 1982 meliputi kawasan seluas 50 ekar. – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -