Belia perlu main peranan pupuk perpaduan- PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Golongan belia di negara ini perlu memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan demi membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan, pimpinan pertubuhan-pertubuhan belia wajar mengambil inisiatif yang terkehadapan dalam menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang disiarkan secara langsung melalui media dan media sosial rasmi kerajaan, hari ini.

- Advertisement -

Kata Ahli Parlimen Pagoh itu, perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan wilayah menjadi asas penting kejayaan negara mengatasi krisis pandemik Covid-19 yang melanda.

Malahan katanya, krisis pandemik Covid-19 memperlihatkan masyarakat majmuk di negara ini saling bantu membantu dan menyokong antara satu sama lain dalam menghadapi keadaan yang sukar.

“Peranan ini dimainkan di peringkat individu, masyarakat setempat, pertubuhan-pertubuhan sukarela atau menerusi program tanggungjawab sosial korporat sektor swasta yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira batas kaum dan agama.

“Ini adalah satu sikap terpuji yang mesti kita teruskan sebagai rakyat Malaysia,” jelasnya.

Susulan itu, katanya kerajaan telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara pada 15 Februari yang lalu, bersekali dengan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 sebagai usaha untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat.

Jelasnya, dasar dan rangka tindakan ini yang pertama kali digubal menggariskan 41 anjakan strategik untuk dijadikan tumpuan di peringkat pelaksanaan bagi mencapai Hasrat ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata layanan yang adil dan saksama untuk semua rakyat akan diteruskan menerusi pelbagai inisiatif penyatupaduan.

Sementara itu, katanya, dalam aspek ekonomi, ia berpaksikan agihan kemakmuran negara yang dikongsi bersama secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat merentasi batas kaum, agama dan wilayah.

Manakala, katanya dalam aspek sosial pula ia dipacu oleh semangat muhibah yang berkekalan. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -