Ordinan Darurat digubal untuk tangani COVID-19

- Advertisement -

MALAYSIA tidak keseorangan dalam mengambil langkah proaktif melalui perisytiharan Darurat untuk mendepani penularan wabak COVID-19. Banyak negara di dunia mengisytiharkan Darurat bagi maksud yang sama.

Utusan Malaysia pada 2 Februari 2021 melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa  peningkatan angka jangkitan positif dijangka sehingga 10,000 kes sehari dalam minggu kedua bulan Mac 2021. Keadaan di atas sudah cukup membuktikan negara kita dalam Darurat besar yang menggugat bukan sahaja kesihatan rakyat bahkan jika tidak dikawal dengan baik nescaya keselamatan dan ketenteraman dalam negara tergugat sama apabila rakyat semakin tertekan dari pelbagai sudut.

- Advertisement -

Peningkatan kes keganasan rumahtangga, tekanan mental, kehilangan pekerjaan, tahap keberhutangan, kelangsungan sara hidup, perniagaan gulung tikar dan pertembungan politik kepartian yang semakin meruncing dilihat sebagai implikasi berganda daripada wabak COVID-19.

Setelah YDPA memperkenankan permintaan Jemaah Menteri untuk mengisytiharkan Darurat pada 11 Januari 2021, maka dimasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang mengandungi peruntukan-peruntukan berikut, iaitu:

1. Jawatankuasa Khas Bebas iaitu untuk menasihati YDPA mengenai kewujudan berterusan Darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit COVID-19;

2. Kuasa untuk mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih iaitu melibatkan pemilikan kerajaan yang terikat melalui kontrak dengan pihak lain dan milik swasta;

3. Permintaan bagi penggunaan sumber iaitu sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset milik kerajaan yang terikat melalui kontrak dengan pihak lain dan milik swasta;

4. Pampasan iaitu kepada pihak yang diambil atau diguna aset dan sumbernya berdasarkan nilai yang ditaksirkan oleh orang yang diberi kuasa oleh YDPA;

5. Arahan untuk rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan, iaitu kuasa sedemikian diberikan oleh YDPA kepada selain mereka  yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988;

6. Kuasa tambahan angkatan tentera iaitu untuk melaksanakan kuasa sebagai pegawai polis sebagaimana diperuntukkan dalam Kanun Tatacara Jenayah;

7. Kuasa untuk mengecualikan iaitu seseorang profesional jagaan kesihatan yang dikawal selia di bawah undang-undang tertentu daripada kehendak untuk mematuhi alamat tempat amalan utama yang dinyatakan dalam mana-mana perakuan amalan tahunan atau yang setaranya;

8. Kesalahan iaitu bagi mereka yang ingkar arahan YDPA atau orang yang diberi kuasa oleh Baginda di bawah Ordinan ini;

9. Perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang iaitu terhadap mereka yang diberi kuasa untuk melaksanakan kuasa-kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988;

10. Kuasa eksekutif dan perundangan iaitu kuasa sedia ada bagi Jemaah Menteri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan mana-mana pihak yang diberi kuasa sedemikian oleh undang-undang sedia ada;

11. Pilihan Raya Parlimen iaitu penggantungan batasan masa untuk diadakan Pilihan Raya Parlimen di bawah Perkara 54 dan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan;

12. Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri iaitu penggantungan batasan masa untuk diadakan Pilihan Raya Negeri di bawah Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri;

13. Persidangan Parlimen iaitu penggantungan batasan masa yang ditetapkan di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan;

14. Persidangan Dewan Undangan Negeri iaitu penggantungan batasan masa yang ditetapkan di bawah Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri;

15. Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan iaitu oleh YDPA dalam tempoh Darurat bagi maksud Ordinan ini;

Peruntukan di atas  terjumlah dalam kuasa-kuasa yang perlu untuk menangani penularan wabak COVID-19. Tanpa peruntukan seperti terkandung dalam Ordinan tersebut, kerajaan akan menghadapi masalah untuk mendapatkan kerjasama pihak swasta dalam tempoh masa yang diperlukan. Sebagai contoh, kuasa untuk mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih serta permintaan bagi penggunaan sumber melibatkan milik swasta pastinya terikat dengan proses undang-undang sedia ada.

Dalam keadaan kemampuan aset kerajaan dan sumber tenaga yang ada tidak lagi mampu untuk menampung keperluan perawatan dan logistik, tentu sahaja kerajaan perlu dilengkapi dengan mekanisme undang-undang untuk mendapatkan alternatif dalam masa yang singkat tanpa tertakluk pada proses perolehan biasa.

Mekanisme seperti di bawah Seksyen 5 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan pampasan bagi pemilikan atau penggunaan sementara aset atau sumber secara taksiran oleh orang yang diberi kuasa oleh YDPA serta taksirannya adalah muktamad memudahkan anggaran perbelanjaan Darurat. Tanpa peruntukan seumpama itu bayangkan tempoh masa yang perlu diambil sedangkan keperluan kerajaan melibatkan kesihatan awam dan nyawa manusia yang sedang bertarung dengan maut.

Di satu sisi lain, peruntukan-peruntukan di atas yang menyentuh kuasa untuk mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih, permintaan bagi penggunaan sumber, pampasan dan kuasa untuk mengecualikan tidak sesuai digubal dalam Akta kerana kesemuanya menyentuh kebebasan asasi yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan-peruntukan sedemikian hanya sesuai berkuat kuasa ketika negara mengalami Darurat besar seperti situasi sekarang. Begitu juga halnya dengan kuasa tambahan angkatan tentera, dalam keadaan biasa anggota tentera sewajarnya menjalani latihan dan aktiviti yang diperuntukkan oleh undang-undang sedia ada. Justeru, banyak kekangan undang-undang dan fungsi kuasa dapat diatasi melalui penggubalan ordinan Darurat termasuklah apa yang sudah termaktub dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 25/2/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -