PKP: Usah jadi belia, beliawanis ‘mandul’

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Para belia dan beliawanis Terengganu disarankan tidak menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan untuk tidak melakukan sesuatu pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, belia dan beliawanis perlu berfikir dan mencari jalan bagaimana mahu melakukan sesuatu pekerjaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

- Advertisement -

“Jadi, usah kita menjadikan ia (PKP) sebagai suatu alasan untuk kita tidak bergerak dan melakukan sesuatu, yang mungkin menyebabkan belia dan beliawanis kita menjadi ‘mandul’, tidak aktif dan tidak bersemangat serta tidak bermotivasi.

“Oleh itu, teruslah berfikir untuk menyelesaikan segala apa yang kita lakukan dengan kaedah norma baharu, yang sesuai dengan peraturan dan undang-undang yang ada sekarang.

“Apa yang penting, kita perlu kekal positif minda kita dan positif dalam cita-cita kita. Teruskan positif, insya-Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditanya, apakah harapan dan pesanan kepada para belia dan beliawanis dalam situasi pandemik Covid-19 dan PKP, hari ini.

Dalam masa sama, katanya, usah lupa untuk turut berkongsi dengan sahabat handai dan rakan taulan termasuk dengan orang yang boleh membantu.

Pada Belanjawan Terengganu 2021, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM3.2 juta kepada Urusetia Belia Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) bagi membiayai pentadbiran dan aktiviti seperti Program Pembangunan dan Kesejahteraan Belia dan Beliawanis, Gaya Hidup Sihat Kecergasan dan Sukan Rekreasi serta Program Peningkatan dan Kemajuan NGO.

Kerajaan negeri juga akan melaksanakan Program Sukan Anak Komuniti seperti sukan bola sepak, sepak takraw, badminton dan bola jaring serta Terengganu Moto Team dengan peruntukan berjumlah RM2 juta.

Selain itu, kerajaan Terengganu akan meneruskan bantuan pengurusan kepada pertubuhan-pertubuhan belia Negeri Terengganu, Sambutan Hari Belia dan Anugerah Belia Peringkat Negeri Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -