Sugarbook: Sisi gelap teknologi dan alam maya

Kaburi banyak pihak dengan kegiatan mungkar dan jenayah yang mesti diperangi

maya
- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Sejak pandemik COVID-19 lebih setahun lalu, kehidupan masyarakat amat dipengaruhi dengan sistem dalam talian yang pesat hampir ke atas semua urusan, namun alam maya tetap mempunyai sisi gelapnya.

Ketua Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh, Ustazah Norhapiza Saad menjelaskan, kegiatan bermula dari atas talian seperti Sugarbook nyata tidak bermoral dengan mempromosi khidmat  Sugar Baby kepada Sugar Daddy.

- Advertisement -

Kata beliau, aktiviti berselindung di sebalik aplikasi yang kononnya mempertemukan dua pihak saling memerlukan itu mengaburi masyarakat terutama golongan muda dengan kemewahan dan gaya hidup elit.

Tetapi bidas beliau, hakikatnya platform tersebut tidak ubah seperti mempromosi atau mendorong kepada pelacuran yang sudah semestinya bukan sahaja salah dari segi agama, bahkan undang-undang.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya dengan peredaran zaman teknologi dan capaian internet yang meluas dalam kalangan rakyat, namun kegiatan tidak bermaruah turut berkembang melalui platform digital. 

Tambahnya lagi, kegiatan terancang Sugarbook oleh pemiliknya, Darren Chan juga jelas mencabar pihak berkuasa apabila tetap meneruskan operasinya walaupun laman web tersebut disekat kelmarin.

Malah bidas beliau, tindakan licik menawarkan pendaftaran percuma kepada pelanggan serta memindahkan operasinya ke aplikasi lain iaitu Sucrebook menunjukkan kegiatan ini didalangi ramai pihak berkepentingan.

Ustazah Norhapiza ditemui semasa membuat laporan polis ke atas Sugarbook bersama Ketua Muslimat PAS Bukit Mertajam, Che Noriah Ibrahim di Ibu Pejabat Polis IPD Seberang Prai Tengah, Bandar Perda, di sini kelmarin.

Manakala Che Noriah turut senada dan berpendapat bahawa ada lagi aplikasi serupa dan seumpama Sugarbook ini di pasaran maya yang perlu dihentikan secara intensif oleh pihak berkuasa.

Beliau menegaskan, selain terbabit isu tidak bermaruah, pengguna sama ada Sugar Daddy mahupum Sugar Baby juga terdedah dengan risiko penyalahgunaan data dan maklumat peribadi oleh penjenayah siber yang semakin berleluasa.

“Kami meletakkan kepercayaan penuh agar pihak PDRM dan SKMM dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh termasuk lain-lain aplikasi dalam talian turut mempromosi kegiatan seumpama ini,” katanya.

Beliau khuatir jika tiada larangan ke atas sesuatu yang mungkar, akhirnya masyarakat khususnya generasi muda bakal menerajui ummah akan menganggapnya sesuatu seperti itu sebagai kebiasaan. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -