Ketatkan PKP untuk 2 minggu lagi- Dr Najihatussallehah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh dua minggu lagi memandangkan jumlah kes sangat tinggi khususnya di Selangor.

Menurut Pengamal Perubatan Berdaftar, Dr Najihatussalehah Ahmad berpendapat kerajaan perlu bertindak drastik dengan menutup sementara waktu sektor yang terlibat dengan kenaikan kes.

- Advertisement -

“Buat sementara waktu, sektor yang terlibat dengan peningkatan kes Covid-19 wajar ditutup dalam tempoh dua minggu. Ia termasuk sektor pembinaan dan perkilangan, kerana kita dapati kes-kes yang tinggi ini banyak menular dalam kalangan pekerja kilang dan buruh binaan.

“Langkah drastik ini sangatlah perlu bagi memastikan jumlah ataupun kes Covid-19 tidak terus merebak khususnya di negeri-negeri yang sangat tinggi iaitu di Selangor, Johor dan juga Negeri Sembilan,” ujarnya.

Beliau dihubungi Harakahdaily bagi mengulas kenaikan kes harian jangkitan Covid-19 sejak kebelakangan ini mencecah ke 3,000 sehingga ke 5,000 kes.

Negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi termasuk Selangor sejak beberapa hari ini direkodkan 3,000 ke atas kes harian selain Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menuruti selepasnya.

Sementara itu, Dr Najihatussalehah turut mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mematuhi segala arahan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat dibendung.

“Walaupun kita berada dalam PKP di seluruh negara tetapi dapat diperhatikan rakyat masih lagi bebas bergerak dalam lingkungan daerah masing-masing dan masih terdapat lagi rakyat Malaysia yang tidak mematuhi penjarakan fizikal serta keluar rumah tanpa urusan mustahak.

“Keluarlah hanya jika perlu dan mustahak, selain belilah barangan keperluan dan jangan beli mengikut kehendak hati bagi mengelakkan pembelian panik. Jadi dalam keadaan ini, saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk terus mematuhi arahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pematuhan SOP bukan hanya ditekankan dalam kalangan rakyat biasa tetapi juga kalangan para pemimpin yang sentiasa bergerak ke sana ke mari.

“Oleh kerana kita lihat bukan sahaja wujud kluster-kluster dalam kalangan rakyat biasa, kini sudah terdapat juga kluster dari kalangan para pemimpin politik,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -