Keadilan Islam di sebalik retorik keadilan Barat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam diseru menjadi duta yang membetulkan stereotaip ditanam musuh Islam sejak sekian lama kononnya pelaksanaan Islam akan menyebabkan berlakunya kezaliman.

Pakar undang-undang, Dr Muhammad Fathi Yusof sebaliknya menegaskan, umat Islam wajib menguar-uarkan bahawa Islam dan perjuangan serta usaha memartabatkannya adalah untuk membawa kepada keadilan.

Kupasnya, keadilan menurut perkataan Arab turut dibawa dengan perkataan al-Qist, al-Haq, al-Mizan juga hifsah, wasat, istiqamah, qas dan sebagainya bersama sifat berdasarkan al-Quran, Hadis dan ijtihad.

- Advertisement -

Kemuka beliau dalam banyak pandangan ulamak, keadilan bersifat bukan sahaja perkara yang nampak, tetapi juga tersembunyi dan bukan sahaja khusus, bahkan sangat menyeluruh.

Pembentangan tersebut dibuatnya dalam Webinar Keadilan Islam yang dikupas dari buku Islam Adil Untuk Semuatulisan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, semalam. 

Bandingnya, berbeza dengan perspektif Barat yang merujuk keadilan kepada aspek pentadbiran undang-undang dan politik dengan hak, membuat layanan seimbang dan munasabah serta berkait kehakiman.

“Berbeza dengan Islam, bila sebut adil itu dia berkaitan dengan jiwa manusia, manusia itu sendiri ya. Konsep manusia itu sendiri. Bukan sekadar aspek perundangan atau pentadbiran. 

“Dan definisi dalam kamus menyebut bahawa just atau adil itu adalah sesuatu yang fare yang betul dari sudut moral, ataupun perbuatan yang adil atau betul dari sudut moral sama ada perbuatan atau perkara ya. 

“Atau layanan yang selayaknya dan sewajarnya diberikan dalam satu-satu keadaan atau pendapat yang berasas, kita kata just opinion, pendapat yang berasas, dan juga bernas,” ujar Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Manakala Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar pula mengingatkan bahawa keadilan merupakan asas yang wajib dijunjung oleh setiap orang beriman.

Kerana keadilan juga menurutnya, adalah sesuatu cita-cita sangat luhur yang menjadi tuntutan sosial kepada kebanyakan manusia, selain menjadi prinsip asas bagi membangunkan negara.

Jelas beliau, hak makhluk untuk menikmati keadilan hanya terjamin melalui perintah agama di mana terpelihara jiwa raga, kehormatan, keselamatan, akal dan harta benda mereka dengan tegaknya Islam.

“Perspektif yang dilihat oleh Barat bahawa ad-Din itu sekadar agama. Tetapi dalam Islam kalimah ad-Din itu menunjukkan keluasan makna peraturan, kehidupan, dan seluruh sistem kehidupan. 

“Sepertinya perbuatan zalim itu berlaku apabila manusia meninggalkan diri mereka daripada mengikuti sistem kehidupan yang menyeluruh telah Allah Taala turunkan dan kesyirikan itu bukan hanya berlaku dengan penyembahan pada berhala.

“Tetapi kesyirikan itu telahpun berlaku tatkala mana manusia merasakan ada sistem yang lebih baik daripada apa yang Allah Taala turunkan dan mereka yakni sistem tersebut.

“Pada saat manusia saling menuntut nilai keadilan dalam kehidupan, tetapi keadilan itu tidak sesekali mungkin terlaksana selama mana manusia berjauhan daripada acuan yang Allah Taala turunkan yakni agama Allah S.W.T,” jelasnya.

Keadilan terangnya, memiliki makna umum dan khusus meliputi keadilan dalam muamalah, hukum, sosial, hak manusia dan lainnya di mana semua perkataannya berlawanan dengan ketidakadilan.

Antaranya kemuka beliau, adalah al-Zulm (kezaliman), al-Tughyan (tirani), al-Mayl (kecenderungan) dan inhiraq(penyimpangan) di mana tidak mendukung aspek-aspek disebut tadi.

Malah katanya, nilai keadilan Islam berbanding Barat adalah bukan sekadar teori, tetapi pelaksanaan di mana Barat tidak mampu merealisasikannya sebagaimana layanan mereka kepada bangsa kulit hitam di Afrika.

“Dan mereka tidak ada satu contoh, tidak ada satu contoh yang mereka dapat nak tonjolkan bahawa merekalah masyarakat paling adil dan paling berjaya. Mereka tidak ada model.

“Kalau Sosialis, mereka tak ada model nak tunjuk negara mereka paling berjaya dengan membawa sistem sosialis tadi berjaya memberi keadilan kepada semua. Begitu juga Kapitalis, mereka juga tidak berjaya.

“Tetapi Islam kita sudah ada model yang terlaksana, yang terbukti, iaitu negara Islam Madinah yang dibentuk oleh Baginda Nabi S.A.W dan asas itu diteruskan perjuangannya oleh para Khulafa ar-Rasyidin. 

“Nilai keadilan itu berjaya dibuktikan dengan pelaksanaan dan itu sebagai model terbukti dan terlaksana,” hujah beliau yang juga merupakan Mudir sebuah pusat tahfiz al-Quran.

Perinci Ustaz Sukri lagi, paling penting keadilan dalam Islam adanya interaksi hamba dengan Allah al-Khaliq, bermakna penuh nilai spritual yakni memiliki roh yang tidak ada pada keadilan Barat.

Bahkan tegasnya, tanpa roh seperti juga tanpa panduan wahyu, maka maka manusia mahupun sesuatu sistem itu bukan sahaja akan tidak memberi kebaikan dan mati, melah membiakkan kerosakan.

Hatta katanya, apabila sesuatu kerosakan itu cuba ditutup sekalipun, ia akan mencambahkan kerosakan lain kerana gagal berlaku adil, sebaliknya membuka jalan bagi sewenang-wenangnya kepada aspek kehidupan lain.

“Sebab itu manusia ada tiga perkara yang penting bagi mereka, keperluan material, spiritual, dan intelektual. Tiga perkara ini mesti dipenuhi dengan kadar yang telah ditentukan. 

“Sekiranya ia tidak dipenuhi dengan kadar yang ditentukan, maka sekiranya manusia hanya menumpukan pada pembangunan intelektual semata-mata, dia hanya melahirkan manusia yang cerdik tetapi jahat. 

“Dan begitu juga manusia yang hanya dipenuhi keperluannya daripada sudut material, tetapi tidak dipenuhi dari sudut intelektual dan spiritual, dia akan melahirkan orang-orang kaya jahat menindas manusia yang lain,” kupas beliau.

Begitu juga keadilan itu terangnya, bukan mengenai soal siapa atau kedudukan seseorang, sebaliknya ia pola atas kehidupan manusia yang adanya kasih sayang, tolong-menolong dan rasa tanggungjawab. 

Ianya jelas beliau, berbeza dengan keadilan perspektif Barat yang berasaskan sistem sosial saling berkonflik di antara satu kelas dengan kelas lain, serta mempunyai kecenderungan, mementingkan diri dan dipengaruhi hawa nafsu.

Lebih lanjut kupasnya, keadilan diajar Islam hinggakan juga di dalam menyembelih dan juga peperangan di mana adanya ihsan, tetapi musuh Islam menggambarkan agama ini dengan pelbagai keburukan.

“Jadi serangan-serangan pemikiran ini mereka cuba gambarkan, cuba supaya mengelirukan masyarakat. Sebab itu Islam satu-satu agama yang mengajar manusia apabila berperang, penuh dengan tata tertib dan tatacara. 

“Orang ganggu wilayah kita, tak boleh rosakkan pokok, tak boleh bunuh orang tua, tak boleh bunuh wanita. Dan ini berbeza dengan apa yang Barat lakukan walaupun mereka berwacana mengenai keadilan. 

“Tetapi mereka membunuh tidak kira kanak-kanak, lelaki, perempuan, orang tua, muda, mereka bunuh seolah-olah hidup tanpa pedoman dan pengetahuan,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -