Stuktur asas Perlembagaan Persekutuan

- Advertisement -

Pengenalan

DOKTRIN kerangka asas perlembagaan masih menjadi tajuk penting dalam perbahasan sarjana undang-undang. Keputusan kes Indira Gandhi A,.P. Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama islam Perak & Dll telah dikritik hebat kerana menerimapakai doktrin struktur asas perlembagaan acuan Mahkamah Agung India, khususnya oleh mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid.

Dua keputusan Mahkamah tertinggi negara terdahulu telah menolak doktrin struktur asas perlembagaan acuan Mahkamah Agung India kerana prinsipnya bercanggah dengan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan dan melampaui bidang kuasa mahkamah.

- Advertisement -

Menurut Tun Abdul Hamid, “dengan menggunakan prinsip struktur asas perlembagaan ciptaan Mahkamah Agung India itu, hakim-hakim kita memberi kuasa kepada diri mereka sendiri untuk meminda Perlembagaan dengan memutuskan bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meminda mana-mana bahagian Perlembagaan yang hakim-hakim itu akan memutuskan, kes demi kes, bahawa ia tidak boleh dipinda.

Dalam erti kata lain, hakim-hakim itu memberi kuasa kepada diri mereka sendiri untuk memutuskan mana-mana pindaan oleh Parlimen kepada mana-mana bahagian Perlembagaan yang mereka katakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan dan oleh itu tidak boleh dipinda, tidak sah.

Kesannya ialah hakim-hakim sendiri telah meminda Perlembagaan untuk memberi kuasa kepada mereka untuk memutuskan bahawa bahagian-bahagian tertentu Perlembagaan tidak boleh dipinda”.

Perbahasan tentang struktur asas perlembagaan tidak mungkin dapat diselesaikan secara ilmiah jika masih berlaku pengabaian terhadap sejarah perundangan tanah air sedangkan kedudukan undang-undang sedia ada masih diiktiraf dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Malahan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kaedah-kaedah pindaan perlembagaan berserta syarat-syarat tertentu.

Dari sudut falsafah undang-undang, setiap pentafsiran dan penggubalan undang-undang mestilah mendokong prinsip kedaulatan yang dijunjung secara nyata di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru kedudukan undang-undang sedia di bawah Perkara 162 dan tafsiran undang-undang bertulis di bawah Perkara 160(2) dapat menjelaskan prinsip kedaulatan sebenar yang mendasari struktur asas Perlembagaan Persekutuan, bukan sebaliknya.

Lebih malang lagi jika doktrin struktur asas perlembagaan ciptaan Mahkamah Agung India diimpot dalam sistem perundangan negara untuk memperkenalkan suatu doktrin yang bercanggah dengan prinsip kedaulatan dan ketinggian Perlembagaan Persekutuan.

Sifat dan ciri-ciri struktur asas Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilihat pada watan negara ini.

Kedudukan watan negara ini sehingga kini masih terpelihara malah terjumlah dalam perkara-perkara yang tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

Untuk menghuraikan struktur asas Perlembagaan Persekutuan, terdapat lima perkara pokok yang perlu difahami, iaitu:

  1. Raja-Raja Melayulah yang menandatangani Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
  2. Perjanjian Negeri 1948 adalah batu asas kepada sistem perlembagaan moden Kerajaan-Kerajaan Melayu (kecuali Johor dan Terengganu yang lebih awal memiliki perlembagaan moden) dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
  3. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dikurnia dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan orang Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah) yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu.
  4. Kedaulatan Raja-Raja Melayu bukanlah ciptaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi bersusur-galur daripada Kesultanan Melayu Melaka mengikut adat Melayu.
  5. Perjanjian Malaysia 1963 masih mengekalkan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ke atas Persekutuan yang dinamakan Malaysia.

Sifat dan ciri-ciri struktur asas Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipisahkan daripada takrifan kedaulatan di bawah dokumen perundangan.

Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menyatakan bahawa kedaulatan di setiap negeri Melayu hendaklah kekal seperti sebelumnya pada Duli Yang Maha Mulia Raja di Negeri itu mengikut adat Melayu dan hal yang sama terakam dalam Perjanjian Negeri 1948.

Perjanjian Negeri membuktikan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti pada 1 Disember 1941 kekal menjadi prinsip kedaulatan pasca 1948.

Kedaulatan mengikut adat Melayu melestarikan amalan prinsip perundangan Islam. Hal ini kerana prinsip adat Melayu mensyaratkan amalan patuh syariah. Itulah hakikat prinsip kedaulatan di setiap Negeri Melayu sebelum penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Stuktur asas Perlembagaan watan

Suatu perlembagaan itu wujud bersama-sama dengan kelahiran kerajaan atau pemerintahan. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi yang menyentuh prinsip kedaulatan serta sistem politik dan perundangan yang diiktiraf dalam kerangka undang-undang sesebuah kerajaan.

Suatu perlembagaan boleh berevolusi namun keabsahan suatu undang-undang, tindakan eksekutif juga pentadbiran keadilan hendaklah selari dengan prinsip kedaulatan yang didokongnya. Itulah prinsip kedaulatan undang-undang. Sama ada suatu pelembagaan itu bertulis atau tidak, itu merupakan bentuknya.

Dari sudut sejarah perundangan, Islam dijunjung sebagai undang-undang watan Kesultanan Melayu Melaka dan merupakan akidah Raja-Raja Melayu. Kedudukan itu meletakkan Raja Melaka sebagai bayangan Allah SWT di atas bumi dalam sistem perlembagaan watan tempatan.

Konsep bayangan Allah SWT di atas bumi tidak hanya difahami semata-mata tetapi termaktub dengan jelas dalam perlembagaan bertulis pasca Hukum Kanun Melaka. Konsep bayangan Allah SWT di atas bumi bermaksud seorang Raja Melayu memegang kedaulatan milik mutlak Allah SWT dalam bentuk satu pengamanahan.

Pengamanahan itu menjelaskan prinsip kedaulatan watan Tanah Melayu dan mentakrifkan prinsip kuasa tersimpan pada diri seorang raja bahawa baginda wajib menjunjung kedaulatan undang-undang berlandaskan ajaran Islam.

Sepanjang campur tangan British di Tanah Melayu, kedudukan perlembagaan bertulis di Negeri-negeri Melayu tidak pernah disentuh, apatah lagi dimansuhkan.

British hanya memperkenalkan polisi pentadbiran dan sistem keadilan melalui doktrin nasihat berdasarkan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani. Sekiranya diteliti peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, tiada suatu sekatan dikenakan terhadap amalan prinsip perundangan Islam.

Seperti dihuraikan dalam buku berjudul Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan (2018), sistem perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka terbina di atas elemen-elemen seperti berikut:

  1. Sultan Melaka itu adalah ketua negara sebuah kerajaan yang merdeka.
  2. Sultan Melaka adalah seorang muslim, diangkat sebagai ketua agama Islam dan pelantikan gantinya dibuat secara bai’ah dan syura.
  3. Hukum Kanun Melaka dan amalan Kesultanan Melayu Melaka mengiktiraf Islam sebagai undang-undang watan dan amalan sumber perundangan Islam.
  4. Raja Melaka tertakluk pada undang-undang dan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan pemerintahan yang adil.
  5. Prinsip syura mendasari sistem politik Kesultanan Melayu Melaka dalam memutuskan dasar kerajaan serta menimbangkan perkara-perkara besar dan mustahak.

Kesemua elemen-elemen di atas menunjukkan prinsip dan doktrin dalam sistem Perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka. Elemen-elemen di atas membina asas-asas kenegaraan yang berpaksi pada empat aspek utama, iaitu:

  1. Raja atau pemerintah adalah ketua sebuah kerajaan yang merdeka.
  2. Pemerintahnya mengekalkan agama Islam sebagai anutan.
  3. Pemerintahnya naik takhta atas bai’ah dan syura.
  4. Pemakaian prinsip bersumberkan kedaulatan watan.

Sistem politik watan berlandaskan ajaran Islam terus dilestarikan walaupun selepas Kota Melaka ditawan.

Amalannya dibahaskan dalam Taj us-Salatin, Bustan al-Salatin, Tuhfat al-Nafis, Muqaddimah fi Intizam al-Wazaif al-Muluk, Thammarat al-Muhimmah Diyafah li al-Umara’ wa al-Kubara’ li-Ahl al-Mahkamah dan Gurindam Dua Belas. Dalam perlembagaan bertulis dan sejarah perundangan di Tanah Melayu terserlah warisan watan seperti berikut:

  1. Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah empayar berdaulat.
  2. Islam sebagai agama dan undang-undang watan bagi Tanah Melayu.
  3. Hukum Kanun Melaka ialah Perlembagaan Tanah Melayu.
  4. Kedaulatan watan bagi Kesultanan Melayu Melaka bersumberkan ajaran Islam.
  5. Islam dan Institusi Raja Melayu adalah unsur teras jati diri Melayu.
  6. Bahasa Melayu sudah bertaraf ‘lingua-franca’.
  7. Tulisan Jawi adalah salah satu tamadun Melayu yang dimartabatkan.
  8. Alam dan Laut Melayu sudah wujud lebih awal daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
  9. Orang Melayu adalah bangsa asal Semenanjung Tanah Melayu.
  10. Pengasasan Kerajaan-kerajaan Melayu berdaulat di Tanah Melayu selepas terbubarnya Kerajaan Empayar Melayu Melaka.

Teras kenegaraan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan dikuat kuasakan pada 31 Ogos 1957 yang merakamkan sistem perlembagaan moden Tanah Melayu bagi sebuah persekutuan terdiri daripada sembilan buah Kerajaan Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 memiliki aspek-aspek kenegaraan seperti berikut:

Yang di-Pertuan Agong ketua utama Persekutuan yang merdeka

Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan adalah ketua utama Persekutuan yang dipilih dalam kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu mengikut Bahagian I dan III Jadual Ketiga, secara bergilir-gilir bagi tempoh lima tahun.

Sebagai ketua utama Persekutuan, baginda dan isteri baginda bergelar Raja Permaisuri Agong diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa oleh Raja-Raja Melayu melalui Perlembagaan Persekutuan, dan kuasa-kuasa tersebut hanya bolek dilaksanakan setelah baginda melafazkan sumpah dan menandatangani surat berjawatan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan.

Hubungan Kerajaan Inggeris atau Great Britain dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu pada dasarnya diikat dengan siri-siri perjanjian antara dua entiti yang berdaulat.

Status kemerdekaan Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu terus diakui dalam ‘Proclamation of Independence Ceremony- Lowering of Union Jack’ bertarikh 18 Julai 1957 yang menyatakan,

“That the Malay States never having been British territory but only British protected territory, the British flag cannot be lowered since it has never been raised,”

Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu melalui Perjanjian Negeri 1948 bersetuju untuk mengagihkan kuasa dan bidang kuasa sedia ada bagi maksud pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan berkerajaan sendiri.

Perlembagaan Persekutuan menjelaskan kuasa-kuasa yang telah didelegat oleh Raja-Raja Melayu bagi pembentukan sebuah sistem perlembagaan berpusat tanpa melucutkan kedaulatan mereka.

Justeru terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan penginstitusian Majlis Raja-Raja dan kuasanya terserlah boleh melantik bahkan melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong memegang kuasa tertinggi Kerajaan Persekutuan mewakili Raja-Raja Melayu dalam sistem politik berteraskan kedaulatan raja-raja dan keluhuran perlembagaan di samping pengekalan kuasa-kuasa tertentu pada Negeri-negeri seperti diperuntukkan oleh Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Pada Yang di-Pertuan Agong sumber kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Yang di-Pertuan Agong hendaklah beragama Islam

Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih dalam kalangan Raja-Raja Melayu. Undang-undang tubuh di setiap Negeri Melayu mensyaratkan seorang raja hendaklah beragama Islam.

Justeru, mustahil seorang yang tidak beragama Islam terpilih sebagai Yang di-Pertuan Agong berdasarkan prinsip perlembagaan pada hari ini.

Yang di-Pertuan Agong juga merupakan ketua agama Islam bagi Negeri-negeri yang tidak beraja, selain daripada negeri baginda sendiri dan dikehendaki melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam sebelum memulakan jawatan

Syarat-syarat di atas dan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang dengan tegas mengisytiharkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan menunjukkan betapa akrab hubungan antara Yang di-Pertuan Agong dengan prinsip kedaulatan dan sistem Perlembagaan Persekutuan.

Kebenaran buat agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan tertakluk pada syarat-syarat di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan sistem perlembagaan Negara kita menerima masyarakat berbilang-bilang agama di bawah pemerintahan Kerajaan Islam.

Yang di-Pertuan Agong naik takhta atas bai’ah dan syura

Secara amalannya, pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu akan dibuat sebelum tamat tempoh lima tahun pemerintahan Yang di-Pertuan Agong semasa.

Seksyen 1 Jadual III Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika-

  1. Raja itu belum dewasa:
  2. Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat dipilih; atau
  3. Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.

Sesuatu ketetapan Majlis Raja-Raja seperti di atas tidak boleh diluluskan melainkan sekurang-kurangnya lima orang anggota Majlis Raja-Raja telah mengundi menyokongnya.

Pemakaian prinsip kedaulatan watan

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diinstitusikan atas kedaulatan sembilan orang Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah) bagi sembilan buah negeri Melayu dan Ratu England bagi Melaka dan Pulau Pinang. Amalan tersebut sudah bermula sejak sebelum Hukum Kanun Melaka.

Bermulanya Hukum Kanun Melaka dan undang-undang perlembagaan pascanya menyaksikan ciri-ciri kedaulatan Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam sesuai dengan akidah baginda.

Islam sebagai ad-Din tidak mengabsahkan fahaman Dikotomi dalam pentafsiran prinsip kedaulatannya.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dibuat atas terma-terma rujukan seperti diputuskan dalam Persidangan London 1956 dengan mengambil kira sejarah undang-undang watan Tanah Melayu.

Dalam konteks Malaysia, kedaulatan watan dipasak dengan kemas sebagai prinsip utama Perlembagaan Persekutuan meskipun menurut pandangan popular agama Islam berada di bawah bidang kuasa Negeri.

Pada sisi sejarah undang-undang, bidang kuasa Persekutuan seperti Senarai I Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk pada prinsip perundangan Islam selaras dengan prinsip kedaulatan watan yang dijamin oleh Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu didelegat kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Prinsip kedaulatan watan juga terserlah dalam Perlembagaan Persekutuan dihakimi pada sumpah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37.

Lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong berbunyi, “kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri” adalah manifestasi pengekalan prinsip kedaulatan watannya.

Peruntukan di atas saling mengukuhkan antara satu sama lain dengan Perkara-perkara 3(1) dan 3(5) iaitu Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi Negeri-negeri tidak beraja.

Lafaz dan posisi di atas memberi signifikasi besar kepada legitimasi kedaulatan watan, termasuklah amalan prinsip kuasa eksekutif dalam kerangka undang-undang bersumberkan ajaran Islam.

Amalan prinsip syura menyerlahkan lagi posisi Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang ketua negara sebuah kerajaan Islam. Pemakaian amalan syura diterjemahkan melalui peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikut:

  1. Melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 40(2).
  2. Merundingi Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38.
  3. Bertindak mengikut nasihat di bawah Perkara 40(1).
  4. Bertindak mengikut nasihat di bawah Perkara 40(3).
  5. Bertindak mengikut nasihat di bawah Perkara 3(5).
  6. Bertindak mengikut nasihat seperti diperuntukkan di bawah lain-lain peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai statut.

Perlembagaan Persekutuan juga menubuhkan institusi-institusi seperti Majlis Raja-Raja, Jemaah Menteri, Majlis Parlimen, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan berbagai-bagai suruhanjaya berkonsepkan syura bagi membantu Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan suatu pemerintahan yang adil.

Jika diteliti setiap peruntukan Perlembagaan Persekutuan, didapati tiada sekatan terhadap penggubalan undang-undang berdasarkan prinsip perundangan Islam.

Jadual 9 Perlembagaan memperuntukkan pembahagian bidang kuasa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Undang-undang perlembagaan membenarkan prinsip perundangan Islam boleh diperkenalkan dalam bentuk akta Parlimen dan enakmen Negeri menurut pembahagian bidang kuasa masing-masing.

Amalan prinsip kedaulatan

Sekian lama tafsiran kedaulatan dan ciri-cirinya dalam Perlembagaan Persekutuan mengabaikan sejarah undang-undang tanah air malah peruntukan-peruntukan nyatanya.

Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menyatakan bahawa kedaulatan di setiap Negeri Melayu hendaklah kekal seperti sebelumnya pada Duli Yang Maha Mulia Raja di Negeri itu mengikut adat Melayu.

Kenyataan itu secara tuntas menolak pemakaian prinsip common law dalam pentafsiran kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedaulatan negara kita pada hari ini.

Pada sisi kerangka undang-undang perlembagaan, kedaulatan itu hendaklah didasarkan tafsirannya menurut adat Melayu, iaitu bersifat watan.

Watan bermaksud elemen-elemen yang berakar umbi pada tanah air dan diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka dan Kerajaan-kerajaan Melayu selepasnya. Prinsip adat Melayu seperti dijelaskan oleh Wan Ahmad Fauzi (2018) ialah patuh syariah.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu mengikut adat Melayu merupakan prinsip undang-undang yang mendasari sistem Perlembagaan Persekutuan.

Photo by Anis Coquelet on Unsplash

Adat Melayu ialah apa yang ditakrifkan sebagai adab budaya dan undang-undang pada hari ini selain daripada hukum hakam yang diwahyukan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah; merangkumi sistem, peraturan, ethos dan nilai yang tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam seperti diwarisi daripada amalan masyarakat dan Kerajaan Melayu pada masa silam.

Adat Melayu juga meliputi sistem politik dan undang-undang yang dikuatkuasakan. Prinsip adat Melayu meletakkan pelaksanaan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu hendaklah terikat dengan amalan Islam atau patuh syariah.

Dari sudut amalannya pula, prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah dilaksanakan menurut kehendak peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini kerana Perkara 181(1) mensyaratkan, “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini” pada permulaan ayatnya.

Huraian tentang syarat “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini” bagi amalan prinsip kedaulatan watan dalam sistem Perlembagaan Persekutuan boleh dirujuk dalam tiga buah buku iaitu Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan (2018), Kenegaraan Malaysia: Sejarah, Kedaulatan dan Kebangsaan (2020) dan Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan (2021).

Stuktur asas Perlembagaan

Struktur asas perlembagaan watan dilestarikan dalam dua peruntukan, iaitu Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

Menginsafi bahawa setiap struktur asas itu mempunyai kepentingannya tersendiri dalam pembinaan sebuah Negara bangsa, maka selepas tercetusnya Peristiwa 13 Mei, Kerajaan Persekutuan menukilkan struktur asas tersebut dalam lima prinsip Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, kedaulatan Undang-undang, keluhuran Perlembagaan dan kesopanan dan kesusilaan.

Perkara 38(4) menyentuh kedudukan dan fungsi Majlis Raja-Raja sebagai identiti yang mendokong penubuhan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan serta kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua-ketua agama Islam serta kewajipan untuk memelihara ajaran Islam selaras dengan tanggungjawab sebagai pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT di bawah wilayah kekuasaan mereka masing-masing juga keistimewaan kedudukan Raja-Raja Melayu menurut adat Melayu.

Perkara 159(5) pula terdiri daripada Perkara 10(4) berhubung dengan kuasa Parlimen untuk mengadakan sekatan-sekatan demi kepentingan ketenteraman awam; larangan perbuatan mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan berkenaan kewarganegaraan, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain dan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta prerogatif Pembesar-pembesar Memerintah Negeri Sembilan; kewarganegaraan; Majlis Raja-Raja; pengecualian imuniti ahli-ahli Parlimen; keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri; jaminan Persekutuan terhadap hak-hak perlembagaan, keistimewaan-keistimewaan dan pewarisan raja dalam Perlembagaan Negeri; pengecualian imuniti ahli Dewan Undangan Negeri; bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tanpa memprejudiskan penggunaan tulisan Jawi; kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perlembagaan Persekutuan; dan Perkara 159(5) itu sendiri. Selain di atas, Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah atau Sarawak sekaligus menghormati semangat persekutuan antara PersekutuanTanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Pemaktuban kuasa khas Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua bagi Sabah dan Sarawak itu menghadkan kuasa Parlimen sekaligus menunjukkan prinsip kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran perlembagaan di Malaysia.

Setiap cabang kuasa di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman hendaklah mendokong prinsip kedaulatan negara dan keluhuran perlembagaan seperti termaktub dalam sumpah berjawatan masing-masing.

Mereka sekaligus hendaklah mendokong prinsip patuh syariah seperti yang diwarisi dan terpelihara bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Di samping itu Jadual 9 menggariskan bidang kuasa Islam di bawah bidang kuasa Persekutuan dan Negeri seperti jaminan Perkara 3(4) bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak mengurangkan lain-lain peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Demikianlah maksud sebenar struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulan

Tafsiran sebenar struktur asas Perlembagaan Persekutuan hendaklah berlandaskan watan Kerajaan Tanah Melayu kerana batu asas Persekutuan Tanah Melayu didirikan melalui kedaulatan Raja-Raja yang bersendikan adat Melayu.

Struktur asas Perlembagaan Persekutuan akan menjadi lebih jelas jika dihimpunkan elemen-elemennya yang berpaksikan pada prinsip kedaulatan dan peruntukan-peruntukan yang tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua bagi Sabah dan Sarawak.

Justeru, struktur asas Perlembagaan Persekutuan ialah prinsip kedaulatan berpaksikan pada sumpah Yang di-Pertuan Agong berserta perkara-perkara yang terjumlah dalam Perkara 38(4), Perkara 159(5) dan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

DATO’ PROFESOR MADYA DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurisprudens Watan
Universiti Malaysia Pahang. – HARAKAHDAILY 23/1/2021

- Advertisement -