China pun cucuk vaksin

- Advertisement -

KALAU ikutkan logik golongan yang menentang pemberian vaksin, negara China tak perlulah ambil vaksin COVID-19. Sebab jumlah kes dalam negara mereka pun dah berkurang sakan. Begitu juga dengan Singapura, Brunei, Thailand dan sebagainya.

Jumlah kes positif harian yang berlaku dalam negara mereka dan jumlah kematian adalah sedikit. Justeru jika kita fikir singkat, maka tidak perlu vaksinlah kan? Namun kerajaan mereka tetap juga memberikan suntikan vaksin kepada rakyat mereka demi memutuskan rantaian supaya wabak ini tidak terus memusnahkan kesihatan dan ekonomi negara.

Berita dari Channel News Asia (5 Januari 2021) bahawa Thailand telah membeli 35 juta dos vaksin AstraZeneca. Jumlah ini adalah tambahan daripada 26 juta dos AstraZeneca sebelum ini. Manakala 2 juta dos vaksin lagi vaksin Sinovac dari China. Ini menjadikan jumlah kesemuanya adalah 63 juta dos buat masa ini. Rancangan mereka adalah ingin memberikan kepada semua rakyat mereka yang berjumlah 70 juta. Kalau ikutkan logik, maka tak perlulah Thailand membeli vaksin tersebut. Sudah cukup memadai dengan menggunakan herba Hempedu Bumi yang dicanang oleh golongan antivaksin. 

- Advertisement -

Kerajaan Thailand sedar akan kepentingan dan keberkesanan vaksin itu untuk memutuskan wabak penyakit COVID-19 yang berlaku seluruh dunia ini. Begitu juga Kerajaan Islam Brunei juga telah menempah dan telah membentuk jawatankuasa khas vaksin (November 2020) untuk membeli vaksin. Perancangan Kerajaan Brunei adalah untuk memberikan kepada 50 peratus daripada jumlah penduduk mereka. Walhal kes dalam negara mereka adalah amat minima sekali. 

Dalam perkembangan yang berlainan Kerajaan Arab Saudi melalui Menteri Haji dan Wakaf, Syeikh Mohammad Banten telah bermula mengeluarkan arahan kepada mana-mana jamaah yang ingin menunaikan umrah diwajibkan mengambil vaksin COVID-19. Ini adalah perkembangan yang positif yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam yang terlalu rindukan untuk menemui Rasulullah S.A.W di Madinah dan juga menunaikan umrah di Masjidil Haram Makkah.

Seluruh dunia sebenarnya mempunyai perancangan untuk memberikan vaksin kepada rakyat di dalam negara masing-masing. Walaupun dengan pelbagai propaganda golongan yang menentang vaksin, di luar sana ramai lagi rakyat yang menyokong usaha ini.

Hanya mereka yang sejak dari dulu lagi tidak mahu vaksin sahaja yang membuat hingar-bingar. Bukan sahaja vaksin COVID-19, tetapi vaksin-vaksin lain sebelum daripada ini pun mereka membencinya. Apa yang mereka syorkan sebagai alternatif? Memang ada, sebab mereka yang menjualnya seperti Vitamin C, rempah ratus, jintan hitam, kunyit dan pelbagai lagi. Kesemuanya itu pun tidak melepasi tahap kajian klinikal pun. Jika ada pun ianya bukan berstrata tinggi tahap pembuktiannya. Vaksin alternatif itu tidak pula dipertikaikan?

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 20/1/2021

Rujukan 
(1) Lazarus, J.V., Ratzan, S.C., Palayew, A. et al. A global survey of potential acceptance of a COVID-19 vaccine. Nat Med (2020). (2) Reporter. Thailand orders a further 35 million doses of AstraZeneca’s COVID-19 vaccine. Channel News Asia. Jan 5, 2021.(3) Khitam Al Amir. Saudi Arabia: Umrah pilgrims advised to take COVID-19 vaccine. Gulfnews. Jan 6, 2021.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -