Proklamasi Darurat langkah bendung Covid-19- PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat merupakan langkah proaktif bagi menjaga keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara sekali gus membendung kes harian Covid-19 dari terus meningkat ke tahap kritikal.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh pelaksanaan darurat ini akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

- Advertisement -

Beliau berkata, kes jangkitan Covid-19 yang dilihat terus meningkat dan tidak menunjukkan tanda penurunan dalam masa terdekat telah menggesa kerajaan mengunakan kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Katanya, perlaksanaan darurat ini juga dikuatkuasa bagi mengelak perkhidmatan kesihatan yang disampaikan kepada rakyat agar tidak lumpuh.

Malah katanya, penguatkuasa darurat ini bukan satu rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.

Namun sebaliknya kerajaan awam akan terus berfungsi menurut perlembagaan persekutuan dari masa ke semasa.

Bagaimanapun, perkenan itu turut mengambil kira berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.

Sebelum ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, semalam (11 Januari, 2021).

Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 5:30 petang semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu.

Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-raja Melayu.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Perlu ditegaskan di sini bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

Bagaimanapun, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan Covid-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama.

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -