Penyatuan Islam wujudkan perpaduan, lindungi semua rakyat

PAS tidak keliru untuk MN dan PN diperkasa serta dipertahankan bersama Umno, BERSATU dan parti-parti lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai asas kenegaraan yang cukup kuat dalam menjamin kepentingan semua rakyat sama ada beragama Islam mahupun bukan-Islam, demikian kata Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

Jelas beliau, perkara tersebut terpelihara apabila Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan bersama hak-hak Bumiputera dan ketika sama memberi kebebasan penganut agama lain melaksanakan amalan agama mereka masing-masing.

Kerana itulah katanya, penyatuan yang tercapai antara Umno dan PAS seterusnya BERSATU dan individu-individu dari PKR hingga mewujudkan Kerajaan Perikatan Nasional telah membantu membentuk perpaduan, keamanan dan keharmonian.

- Advertisement -

Sedangkan sebelum itu ujarnya, apabila Pakatan Harapan memerintah negara ini, dapat disaksikan hak-hak agama Islam, Melayu dan Bumiputera telah dihakis di mana perkara tersebut telah membangkitkan kesedaran orang Melayu mengenai penyatuan.

Perkara itu dinyatakannya dalam Bicara Harakah membicarakan tajuk Perpaduan Islam dan Melayu Mendepani Tahun Baharu 2021 secara siaran langsung di Facebook dan YouTube HarakahDaily kelmarin.

“Perlembagaan ini perlu dipertahankan oleh pemimpin-pemimpin negara biar daripada parti mana sekalipun mereka mentadbir negara ini. Tetapi berlaku cabaran semasa di bawah Pakatan Harapan, mereka seolah-olah mencabar persetujuan, ataupun persefahaman yang telah termaktub dalam Perlembagaan itu tadi.

“Jadi alhamdulillah selepas daripada itu apabila berlaku perpaduan ataupun penyatuan kerjasama Umno dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang seterusnya bersama dengan BERSATU dan juga beberapa orang pimpinan daripada PKR yang selepas itu membentuk Kerajaan Perikatan Nasional.

“Sebenarnya itu adalah merupakan anugerah Allah S.W.T yang cukup besar terutamanya kepada kita orang Melayu, orang Islam dan sebenarnya tidak terkecuali kepada orang bukan-Islam juga sebenarnya.

“Kerana apabila orang Melayu boleh bersatu, apabila perpaduan terbentuk dalam negara, keamanan itu keharmonian dalam negara itu dapat dinikmati oleh semua rakyat dalam negara ini,” ujar beliau.

Sedangkan orang Melayu katanya, sukar menyatu biarpun pernah mengulangi keadaan seumpama dari tragedi hitam peristiwa 13 Mei 1969 yang sepatutnya disedari betapa pentingnya penyatuan umat Melayu selaku teras negara ini.

“Orang Melayu sendiri dapat melihat dengan cukup jelas bahawa mesti bersatu bagi memastikan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam kekal sebagai agama Persekutuan. Orang Melayu perlu bersatu dan mempertahankan hak-hak yang telah termaktub ini. Kerana inilah terbentuklah Kerajaan Perikatan Nasional.

“Jadi, kita mengharapkan supaya Kerajaan Perikatan Nasional ini dapat terus menyatukan orang Melayu demi untuk memberi keadilan kepada semua. Sebab, apabila orang Melayu berkuasa, selalunya kita juga memikirkan kepentingan orang bukan-lslam lainnya.

“Tapi bila Pakatan Harapan memerintah baru 22 bulan, mereka cuba mencari jalan menghakis hak-hak orang Melayu. Itu maknanya perkara yang berlaku sepanjang 22 bulan memberi kesedaran kepada orang Melayu-Islam terutamanya dan juga orang bukan-Islam yang cintakan kepada keharmonian.

“Pengajaran kepada kita semua betapa perlunya berada di bawah kerajaan yang boleh memberi keadilan kepada semua, bukannya yang nak hakis keistimewaan orang lain dan sebagainya,” ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan.

Mengulas pelbagai serangan dan isu politik, beliau menyatakan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetap dengan arahan dan pendirian jelas betapa Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional mesti diperkasa dan dipertahankan.

Katanya, dengan pelbagai krisis timbul, Tuan Guru Abdul Hadi dan PAS tidak keliru untuk kekal bertegas dengan perkara tersebut kerana perpaduan dicapai adalah anugerah Allah S.W.T yang wajib dikekalkan kerana cabaran dihadapi masih sedia wujud.

Tegas beliau, biarpun dihadapkan pelbagai cubaan untuk memecahkan perpaduan ini, kepimpinan PAS ternyata tidak keliru dan jelas bahawa kepimpinan negara ini mesti diterajui Melayu-Islam, serta didukung bersama bukan-Islam seperti MCA dan MIC. – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -