Larangan jual alkohol selaras usaha bina insan

- Advertisement -

KUALA Lumpur sedang menuju ke satu tamadun yang bakal dicontohi dalam lipatan sejarah manusia atas intervensi mengurus aktiviti peminuman alkohol. Ia akan mewujudkan citra kesejahteraan yang selari dengan wajah sebenar Malaysia, sebuah negara majmuk tetapi harmoni kerana saling menghormati ini.

- Advertisement -

Pentingnya langkah seperti ini banyak dikemukakan oleh tokoh ulamak, Ibnu Khaldun dalam karyanya Muqaddimah yang terkenal dan menjadi rujukan fakulti sosial dan politik di seluruh universiti dunia. Ibu Kota Malaysia kini sedang meniti peradaban yang akan menebarkan kebaikan ke setiap pelusuk negara ini, bahkan dunia.

Tahniah atas tajdid penuh hikmah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa. Usaha menangani isu berkaitan minuman memabukkan ini telah disusun teratur sejak Perikatan Nasional mengambil alih teraju negara.

Ia berlatarbelakangkan pengajaran panjang yang telah ditempuh negara ini dalam menyaksikan buruknya kesan telah disebabkan oleh minuman tersebut. Ia ternyata merekodkan statistik yang banyak meruntuhkan kehidupan, sosial dan kemasyarakatan. Hatta antara ‘pembunuh’ yang menghilangkan nyawa rakyat pertiwi ini.

Dalam beberapa tahun ini sahaja, negara mencatatkan insiden-insiden mengejutkan berakibat dari pemandu mabuk yang menyebabkan kecelakaan di jalan raya. Malangnya, nyawa mereka yang tidak terlibat menjadi mangsa. Bayangkan pula trauma kepada keluarga yang ditinggalkan.

Langkah ini juga selari tindakan kerajaan diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang meluluskan pindaan berkaitan hukuman berkaitan kesalahan mengenainya dalam Akta Pengangkutan. Kami berharap, akan berlaku lagi pindaan kepada akta lain untuk menjadikan kawalan ini lebih komprehensif.

Kami juga menyeru usaha seumpama ini turut digerakkan untuk pelaksanaan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara. Ketika sama, kementerian dan agensi berkaitan diminta menggiatkan peranan untuk terus menerus menyedarkan masyarakat terhadap keburukan minuman keras ini.

Kepada suara-suara bantahan yang sudah mula tampil, kami menyeru untuk kita duduk berdialog secara matang. Kami tidak melihat suara-suara yang dikemukakan itu mendukung isu ini sebagai pembela kepada kebudayaan mahupun adat resam sesuatu kaum. Tetapi lebih berpihak kepada kepentingan perniagaan.

Ya, kita akui adanya pihak bergantungan survival kehidupannya kepada perniagaan berkaitan minuman keras. Tetapi ia harus diurus dengan pertimbangan yang sesuai keperluan, hak dan budaya disebalik segala sensitiviti sedia wujud disekeliling kita atas rasa meraikan penuh hormat. Kami yakin, kalian boleh bersetuju dengan kami.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

DR ROSNI ADAM
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 20/11/2020

- Advertisement -