UMANY sengaja cetus provokasi

Ahli pertubuhan UMANY
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan kontroversi dari Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) jelas membawa mesej politik DAP yang pernah mempertikai kuasa dan peranan institusi Raja-Raja Berpelembagaan.

Malah mesej dari UMANY sengaja dibuat bertujuan mencetuskan provokasi dengan kenyataan berbaur kontroversi.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa menyifatkan alasan UMANY terhadap penarikan kenyataan itu hanya satu helah yang amat tidak munasabah.

“UMANY berhelah dengan menyatakan hantaran di Facebook tersebut sebagai perbincangan akademik amat tidak munasabah kerana mengheret isu ini kepada perbincangan awam melalui media dan menimbulkan polemik umum.

“Sekiranya ia benar-benar bertujuan akademik, sepatutnya dibincangkan secara tertutup sahaja kerana mampu mengundang pelbagai persepsi negatif netizen,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sementara itu, UMMAH mendesak agar pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci dan tindakan tegas perlu dikenakan jika didapati bersalah.

Pada 6 November lalu, Presiden UMANY bersama Naibnya, Yap Wen Qing dan Tan Li telah dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk memberi keterangan bersabit siasatan yang diklasifikasikan di bawah Akta Hasutan 1948 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Manakala pada 12 November lepas, pertubuhan berkenaan memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia susulan atas kenyataan kontroversi bertajuk ‘YDPA Should Not Interfere In National Affairs’ (Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara).

UMANY dalam satu hantaran di Facebook turut memaklumkan pihaknya menarik balik kenyataan tersebut yang telah dipaparkan di Facebook bahasa Cina dan bahasa Inggeris pada 30 Oktober – HARAKAHDAILY 16/11/2020

- Advertisement -