Bubarkan Umany – SiswaPAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelab Mahasiswa Penyokong PAS (SiswaPAS) mendesak Universiti Malaya (UM) membubarkan keanggotaan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) yang bertindak biadap terhadap entiti tertinggi negara.

Alasan kebebasan bersuara bukanlah suatu lesen bagi membenarkan sebarang usaha memporak-peranda kestabilan negara lalu mengundang kemarahan masyarakat, kata Timbalan Pengerusinya, Dzafir Firdaus Ahmad Zubairy.

- Advertisement -

Menurutnya, rakyat Malaysia bernaung di bawah Artikel 10(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.

“Namun, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara dan celik perlembagaan, perlulah difahami bahawa peruntukan di dalam perlembagaan ini sewajarnya dibaca secara menyeluruh.

“Antaranya, perlu dibaca pada artikel 10(4) Perlembagaan Persekutuan berkenaan, parlimen boleh meluluskan undang-undang berbentuk restriction kerana kebebasan bersuara tidak absolute.

“Rentetan itu, maka keluarlah akta-akta yang menggariskan larangan-larangan seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Terdahulu, UMANY telah memuat naik satu hantaran di halaman Facebook bahasa Cina dan bahasa Inggeris UMANY atas kenyataan bertajuk Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara berhubung titah YDPA agar Belanjawan 2021 disokong, pada 30 Oktober lalu, mendapat kecaman hebat daripada netizen. – HARAKAHDAILY 16/11/2020

- Advertisement -