Pemuda bawa isu belia Johor kepada kerajaan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telah mengajukan isu permasalahan semasa dalam kalangan belia yang sedang meningkat berikutan kesan pandemik COVID-19 sedang melanda kini.

- Advertisement -

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz yang diundang dalam satu pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pertemuan ramah mesra tersebut telah berlangsung di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, di sini kelmarin.

Antara dipertegaskan adalah kebimbangan mengenai pengangguran melibatkan belia yang semakin meningkat serta keresahan untuk meneruskan kehidupan seharian kian mencabar pada masa kini.

Apatah lagi gugatan COVID-19 ini merupakan ancaman yang merentasi parti, kaum, agama dan umur di mana sekali gus menuntut gemblengan kebersamaan Bangsa Johor agar rentan dan berdaya menghadapinya.

Antara diharapkan oleh rombongan Pemuda PAS Johor juga agar pihak Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan secara khusus dalam Belanjawan 2021 Johor dana kepada persatuan dan aktiviti belia di negeri ini.

Ke arah hasrat tersebut juga, Pemuda PAS Johor menyatakan kesediaan untuk merealisasikan pembangunan ‘Youth Centre’ di setiap daerah negeri ini sebagaimana idea Tunku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Pimpinan Pemuda PAS Johor yang hadir sama adalah Timbalan dan Naib Ketua Pemuda, Mohd Faizal Rizal dan Ustaz Azlan Alias serta Setiausaha, Mohd Fairuz Alias selain Ketua Unit R&D Ameerah Johor, Farah Aqilah Abd Hamid. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -