K’jaan perlu bantu kembang potensi belia berbakat

'Mail Totey The Movie': Ahli Parlimen rakam tahniah di Dewan Rakyat, kejayaan jadi inspirasi anak muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan filem ‘Mael Totey The Movie’ dihasilkan seorang pengarah, Syahmi Syazli dari Kelantan perlu dilihat sebagai bakat kreativiti anak muda yang perlu diberi perhatian dan dikembangkan.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berkata, filem tersebut dihasilkan dengan belanja rendah iaitu RM400,000 sahaja tetapi telah mencatat sejarah apabila meraih kutipan lebih RM4 juta dalam lima hari sahaja.

Menurut beliau, filem yang disiarkan Astro First itu dihasilkan tanpa bantuan kerajaan dari sudut kewangan dan diterbitkan tanpa pengalaman dalam dunia perfileman, selain menempuh cabaran era COVID-19.

“Bahawa kita tidak boleh memandang rendah kepada potensi yang boleh dicetuskan oleh anak-anak muda. Betapa ramai anak-anak muda pada hari ini boleh mencatat nama sebagai usahawan-usahawan digital.

“Dengan mempromosikan produk-produk kesihatan dan kecantikan tanpa bantuan daripada kerajaan, mereka bertatih dengan usaha mereka sendiri,” ujarnya berucap membahas RUU Akta Koperasi (pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Pun demikian, beliau juga berharap kerajaan tidak memberi tumpuan kepada kelompok atau dengan sentimen tertentu di mana terdapat usahawan yang dibantu sejak awal memulakan perniagaan, tetapi gagal atau tidak mampu untuk berdikari.

Banyak memberi fokus kepada belia dalam perbahasan itu, beliau meminta kerajaan memberi perhatian kepada golongan itu terlibat dalam koperasi menerusi program-program keusahawanan dan koperasi terutama mahasiswa pasca graduasi.

Selain mengurangkan isu pengangguran, Ahmad Fadhli percaya ruang kepada golongan tersebut secara galakan dan pendidikan akan membantu lonjakan kepada syarikat-syarikat baharu berasaskan teknologi sains dan kejuruteraan.

Di dalam ucapan ini, suka saya untuk melontarkan beberapa cadangan dan beberapa lontaran untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan, iaitu yang pertama galakan pendidikan keusahawanan dan koperasi.

Antara dikemukakan beliau adalah supaya kerajaan mengadakan inisiatif latihan atas talian, khidmat lepas jualan, pendigitalan, e-dagang dan juga kemudahan internet sebagai sokongan kepada kemudahan jualan yang menjadi pilihan masa kini.

“(Pindaan ini) merupakan satu langkah yang tepat pada masanya bagi memastikan penubuhan koperasi dipermudahkan, manakala pembubaran atau penutupan koperasi dipersulitkan. Ia bermaksud kerajaan berhasrat agar lebih banyak koperasi dapat diwujudkan.

“Di samping memberikan ruang dan peluang yang lebih besar kepada pihak pengurusan untuk menguruskan koperasi tanpa hambatan oleh undang-undang yang boleh menyebabkan pendaftaran koperasi dibatalkan,” puji beliau.

Dalam ucapan itu juga beliau menyentuh kebimbangan nasib lebih 200,000 bakal graduan yang mungkin menambahkan lambakan pekerja berikutan pemberhentian sedang berlaku kini di sektor pekerjaan sebagaimana nasib lebih 2,000 pekerja Malindo Air. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -