Peruntukan RM22 juta projek cegah banjir Kelantan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Lebih RM22 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat dan negeri bagi menjalankan projek mencegah dan mengurangkan risiko kejadian banjir di Kelantan yang dijangka melanda bermula penghujung tahun ini hingga awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan Tuan Mohd Sarupudin Tuan Ismail berkata lebih RM19 juta daripada peruntukan itu adalah melalui kerajaan persekutuan dan selebihnya daripada kerajaan negeri.

“Antara projek berkenaan ialah mendalamkan sungai-sungai utama termasuk Sungai Kemubu dan Semerak, selain pembinaan perparitan dan takungan air yang sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

- Advertisement -

Tuan Mohd Sarupudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selising diminta mengulas mengenai persiapan kerajaan negeri menghadapi kemungkinan berlaku banjir bagi mengelakkan kemusnahan rumah dan harta benda seperti kejadian “Bah Kuning”  pada 2014.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi menghadapi kebarangkalian itu, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan, antaranya  Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu yang membabitkan jajahan seperti Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh serta Jabatan Parit dan Saliran.
 
Mengulas mengenai projek mitigasi banjir yang sedang dijalankan, beliau berkata antaranya pengairan saliran mencegah banjir dan pemeliharaan sungai  dengan kos RM540,000,  kerja-kerja kecil (RM640,000) serta membaik pulih saliran bagi mencegah banjir di Pasar Batu 8, di Kuala Krai (RM1.5 juta).

“Turut dilaksanakan projek menaik taraf saliran di kawasan  DUN Kadok, Kampung Batu, Kota Bharu dengan kos RM241,500,” katanya.

Selain itu, kerja-kerja memperdalam serta membersihkan perparitan turut dilaksanakan di Kampung Tasek dan Tualang Tinggi bagi kawasan DUN Selising, serta Kampung Nara, Telaga Gayong dan Jelor di DUN Limbongan.

“Projek-projek berkenaan bagi mengalirkan air berlebihan ke Sungai Semerak-Terusan Tok Bali-Laut Cina Selatan,” tambahnya. – BERNAMA

- Advertisement -