Belia ihtirafi kembali kegemilangan ummah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berusaha melahirkan lebih ramai golongan belia ihtirafi (profesional) yang bertanggungjawab, amanah dan berintegriti dalam mengurus kehidupan seharian.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, belia ihtirafi perlu diwujudkan ke arah melahirkan belia yang profesional dan mukmin.

- Advertisement -

Katanya, ihtirafi membawa maksud individu yang mempunyai ilmu, kemahiran, kepakaran, pengetahuan dan berintegriti.

“Semua itu merupakan asas untuk melahirkan belia ihtirafi. Dua ciri utama bagi orang mukmin yang profesional iaitu hafiz dan alim.

“Saya yakin melalui dua kekuatan tersebut generasi belia hari ini mampu untuk mengembalikan kegemilangan ummah dalam setiap sudut sama ada politik, ekonomi dan teknologi,” katanya pada perasmian persidangan Dun Belia Kelantan penggal pertama sesi ketiga 2020 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Seramai 45 belia menyertai persidangan itu yang mewakili 45 kawasan Dun di Kelantan.

Persidangan terbabit dipengerusikan Adun Chetok Zuraidin Abdullah yang bertindak sebagai speaker.

Persidangan berkenaan juga disiarkan secara langsung melalui laman facebook RTVKelantan.

Turut hadir menyaksikan persidangan tersebut termasuk wakil Majlis Belia Kelantan, rombongan pelajar UiTM Jasin Melaka dan peserta Kolej Gentera.

Persidangan Dun Belia dikendalikan Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes).

Oleh itu Menteri Besar berharap belia di negeri itu sentiasa meletakkan asas kekuatan ilmu dan rohani sebagai tunjang pembentukan jati diri sebagai seorang belia Islam. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -