Hijrah Nabi asas tubuh MN, bentuk semula Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional yang ditubuhkan dalam usaha menggabungkan orang Islam bermula dengan PAS dan Umno lalu membentuk piagam adalah berbalik kepada asas telah ditunjukkan Nabi Muhammad S.A.W.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengupas panjang lebar perkara itu semasa berceramah sempena PRK DUN N.58 Slim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, Tanjung Malim, semalam.

Nabi S.A.W kata beliau, ditunjukkan Allah panduan al-Quran cara menubuhkan negara masyarakat majmuk bermula dengan melakukan hijrah setelah kaumnya tidak mengizinkan Baginda menegakkan negara seperti diperintahkan.

Menurutnya, hijrah dilakukan ke Madinah setelah pemimpin-pemimpin Makkah yang berbangsa Arab sama dengan Nabi Muhammad S.A.W menunjukkan sifat fanatik kaum dan agama serta menjadi penghalang.

Di Madinah ceritanya, penduduknya dari kabilah Aus dan Khazraj yang pernah berperang di zaman jahiliyah tetapi bergaul bersama orang-orang Yahudi dalam kalangan ahli kitab dan mengetahui mengenai Nabi akhir zaman.

“Nabi Muhammad S.A.W mengajak penduduk Madinah mendukung perjuangannya untuk menegakkan sebuah negara masyarakat majmuk. Maka Aus dan Khazraj masuk Islam. Bukan sahaja masuk Islam, mereka bersedia mengerahkan bumi tanah air mereka untuk menegakkan negara yang dikehendaki itu.

“Maka, Nabi kita Muhammad dan orang-orang Makkah yang berhijrah ke Madinah, bergabung dengan Aus dan Khazraj. Digabungkan orang Islam sahaja, untuk membina satu kekuatan yang berkuasa memerintah, disatukan orang Islam Aus Khazraj, dan Quraisy dari Makkah digabung dalam satu gabungan Islam.

“Diajak (bersama) orang-orang bukan Islam yang tidak ekstrem, orang bukan Islam yang tidak melampau, orang-orang Yahudi, orang-orang Kristian, termasuk penyembah berhala, yang masih ada sifat kemanusiaan,” kupasnya.

Dinyatakan beliau sifat mereka itu bencikan bergaduh lalu diajak bersama bergabung dalam satu muafakat yang diwujudkan dan dimeteraikan Piagam Madinah di mana Islam memimpin tetapi negaranya adil untuk semua.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, maka terbentuklah sebuah negara masyarakat majmuk yang hanya menjadi impian dan angan-angan ahli falsafah Barat di mana mereka banyak menulis teorinya, tetapi Islam membuktikan kenyataannya.

Bahkan tegasnya, tidak ada paksaan kepada orang bukan-Islam untuk masuk Islam, melainkan sama ada mereka masuk Islam dengan rela hati, ataupun tunduk di bawah pemerintahan Islam yang adil untuk semua.

“Setelah disempurnakan asasnya, diwafatkan dimatikan Nabi Muhammad S.A.W, tapi Quran itu masih ada. Sehingga orang Islam berjaya menumbangkan dua empayar besar Parsi dan Rom, Islam masuk ke India, pengaruh masuk China, masuk ke Sepanyol, Utara Afrika, dan orang Islam menerima ilmu-ilmu yang baik, daripada tamadun-tamadun bangsa lain.

“Ilmu dunia yang ada faedah, diambil oleh Islam dan dibina dengan akidah dan akhlak Islam. Maka lahirlah tamadun Islam. Sebelum itu, bangsa-bangsa lain, kuasa-kuasa lain tak menghormati ahli-ahli ilmu, Socrate, ahli Falsafah Greek yang terkenal dibunuhnya, kerana dia bijak.

“Ada negara yang mempunyai arkitek yang membuat bangunan yang cantik, disuruh reka bentuk istana yang indah, setelah dibina istana yang indah, tangan arkitek itu dipotong kerana takut buat istana lain pula,” ujarnya menjelaskan peranan orang Islam memperbaharukan ilmu-ilmu.

Pun begitu lanjutnya, lama-kelamaan orang Islam lupa pada ajaran agama mereka, menyebabkan mereka berpecah dan tanah air orang Islam dijajah oleh kuasa-kuasa Barat, serta ciptaan ilmu sains dan teknologinya diambil.

Tetapi revolusi Barat itu ujarnya, bertembung dengan Kristian lalu Tamadun Barat bangun tanpa ada akhlak dan moral di mana banyak mencipta senjata yang membunuh jutaan manusia sekelip mata.

“Dadah digunakan untuk perubatan, akhirnya dadah digunakan untuk hilangkan akal, memusnahkan dunia. Ini semua tamadun Islam, guna dadah, guna candu untuk perubatan. Bila orang Barat dapat, jadi musnah habis dunia.

“Orang Islam dijajah, Barat yang maju dan menjajah negeri Islam, termasuk negara kita Malaysia dijajah. Dan mereka bahagi-bahagikan sama-sama penjajah. Indonesia Belanda punya, Malaysia British punya, Utara Afrika Perancis punya, Asia Tengah Soviet punya, dibahagi-bahagi negeri Islam ini.

“Tetapi mereka tak berjaya menghapuskan. Quran dipelihara oleh Allah. Maka kita perlu berusaha untuk mengembalikan semula orang Islam kepada asas,” ujarnya menerang asas untuk membentuk semula negara itu. – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -