MAFI anjur kursus pemasaran dalam talian

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperluas penganjuran kursus pemasaran dalam talian kepada agropreneur muda di seluruh negara, bagi membantu golongan itu memasarkan produk pertanian dan agro makanan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata seramai 50 usahawan muda di Sabah menjadi kumpulan pertama menjalani kursus berkenaan, hari ini.

“Penjualan melalui dalam talian ini membantu usahawan muda memasarkan produk secara lebih meluas dan terbuka tanpa melalui orang tengah, dan ini adalah peluang serta perkembangan cukup baik untuk memasarkan produk secara terus kepada pengguna.

“Justeru, kementerian melalui FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) menggalakkan usahawan muda menggunakan medium dalam talian kerana mereka lebih mudah memahami Internet dengan lebih baik dan memanfaatkannya untuk perniagaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pemasaran Dalam Talian Agropreneur Muda Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pemasaran dalam talian menerusi platform AgroBazaar membantu meningkatkan jualan produk pertanian dan industri asas tani sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sepanjang tempoh itu, hasil jualan produk pertanian melalui AgroBazaar di Sabah mencatatkan kutipan kira-kira RM200,000 dengan penyertaan para usahawan yang cukup menggalakkan,” katanya yang berharap usahawan tani muda di Sabah memanfaatkan platform itu. – BERNAMA

- Advertisement -