Dato’ Abu Samah Ali: NYDP Agung PAS

- Advertisement -

TIDAK banyak pegawai Inggeris yang mempunyai kecenderungan agama dan bersemangat dalam perjuangan Islam. Tidak seperti Pak Sako (Ishak Haji Mohamad) (1910-1989), tokoh juniornya di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang berjiwa sosialis, Dato’ Abu Samah Ali sebaliknya berjiwa Islamis. Telah banyak penganalisis yang mengkaji perkembangan kebangkitan politik Islam yang berlaku di Gunung Semanggul pada 1947-1948, tetapi tidak ramai yang mengetahui pemain belakang tabir di sebalik gerakan yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir itu. Beliau ialah Dato’ Setia Abu Samah Ali, Pegawai Daerah (D.O) Kerian ketika itu yang banyak membantu kebangkitan tersebut dari pejabat yang dikuasai penjajah. Peranan beliau sebagai D.O Kerian itulah yang memudahkan pergerakan politik di sana.

- Advertisement -

Dato’ Abu Samah Ali adalah seorang tokoh pentadbir yang terkemuka di Pahang pada zaman penjajah. Beliau dilahirkan dalam tahun 1897 di Kertau, Temerloh, Pahang. Beliau adalah seorang bangsawan berketurunan Rao (Rawa). Pada abad ke-16, nenek-moyang beliau merupakan Sultan dan Yang Dipertua Negeri Padang Unang, iaitu Tanah Rao di Sumatera. Moyangnya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Mahyudin adalah raja negeri tersebut. Sultan Mahyudin pula adalah anakanda kepada Raja Shahbandar Aceh, Laksamana Burhanuddin Shah, iaitu adinda Sultan Aceh yang pertama, Sultan Ali Mughaiyat Shah (1514-1530). Dalam satu riwayat Aceh, menyebutkan bahawa Sultan Ali Mughaiyat Shah adalah cucu Sultan Zainal Abidin (Che Bo Nga), Raja Champa yang terkenal itu. Salah seorang putera Sultan Ibrahim, Meurah Mas Shah Alam, mempunyai dua putera. Tengku Rendah yang menjadi raja di Padang Unang, dan Meurah Mas Tengku Muda iaitu Yamtuan Muda Tanjung Alai. Anak Tengku Muda ini, Meurah Ali adalah seorang ulamak yang bergelar Imam Bagindo Imam Meurah Ali yang dikatakan lahir di Temerloh, Pahang, setelah Tengku Muda berhijrah ke Pahang bersama-sama orang Rao untuk membuka perkampungan di daerah Raub (sebutan yang berasal dari kata Rao).

Keluarga mereka tinggal di Kertau, Temerloh dan memegang jawatan utama dalam masyarakat seperti imam, khatib dan penghulu. Anak Imam Bagindo Meurah Ali, bernama Tuhfah juga dilantik menjadi imam di sana. Cucu kepada Imam Tuhfah ini ialah Penghulu Haji Ali bin Mohamad (Tok Mamat). Sebagai penghulu di Temerloh, beliau mendapat keistimewaan menyebabkan anak-anak mereka mempunyai peluang mendapat pendidikan yang lebih baik. Anak Penghulu Haji Ali ini yang terkenal ialah Penghulu Haji Jabbar dan adiknya, Dato’ Abu Samah. Dengan kedudukan keluarganya sebagai bangsawan dan pemimpin agama, tidak hairanlah apabila Dato’ Abu Samah mewarisi jiwa perjuangan Islam nenek moyangnya. Salah satu faktor yang mempengaruhi jiwanya ialah perjuangan Dato’ Bahaman, seorang pemimpin Rao yang menjadi Orangkaya Semantan, tokoh yang memimpin perjuangan ke atas Inggeris menjelang kelahiran Dato’ Abu Samah.

Dengan latar belakang keluarga yang begitu kuat, pada 1904, beliau memasuki Sekolah Melayu Temerloh sehingga tamat Darjah 5, kemudian belajar di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis sehingga tamat Senior Cambridge pada 1916. Beliau kemudian diterima belajar di MCKK atas kedudukan beliau sebagai anak bangsawan yang cemerlang. Di sini, beliau dilatih untuk menjadi pegawai tadbir British sehingga 1918.

Setelah tamat belajar di MCKK, beliau menyertai perkhidmatan pegawai Melayu yang disebut sebagai Malay Civil Servants (MCS), setaraf dengan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sekarang ini. Beliau berkhidmat sebagai pegawai MCS bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) yang dibentuk sejak 1895. Pada awalnya, beliau menjadi pegawai tadbir rendah di Pekan dan Kuala Lipis beberapa tahun, sebelum dilantik sebagai Pegawai Daerah Hulu Langat di Kajang, Selangor pada awal 1930-an. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau dipindahkan ke Perak untuk menjawat sebagai Pegawai Daerah Kerian sehingga awal 1948 di bawah kerajaan Malayan Union. Ketika beliau berkhidmat di sinilah, berlakunya beberapa persidangan ulamak di Maahad al-Ihya as-Syariff, Gunung Semanggul yang berjaya menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947, diikuti oleh penubuhan Hizbul Muslimin pada 1948. Dato’ Abu Samah memberikan sokongan dan bantuan kepada gerakan politik Islam di Gunung Semanggul ini.

Beberapa ketika menjelang penubuhan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948, British telah mengumumkan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) menggantikan Malayan Union. Penubuhan PTM pada 1 Februari 1948 telah menyebabkan Dato’ Abu Samah dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang pertama mulai 1 Februari 1948 itu, membolehkan beliau berpindah kembali ke Kuala Lipis, ibu negeri Pahang, tanpa sempat terlibat secara langsung dalam penubuhan Hizbul Muslimin. Beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan selama empat tahun dan dianugerah pingat oleh Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar yang membawa gelaran Dato’ Setia Raja. Pada 2 Ogos 1952, sebaik sahaja umurnya genap 55 tahun, beliau bersara dari jawatan ketua pentadbir negeri Pahang itu. Beliau kemudiannya digantikan oleh Dato’ Abdul Razak Hussein (Tun Razak) sebagai Setiausaha Kerajaan.

Namun begitu, kerana kecemerlangan tugasnya dan juga jiwa ke-Islamannya, Sultan Pahang telah berkenan untuk melantik beliau sebagai Presiden (Yang Dipertua) Majlis Agama Islam Pahang selama empat tahun lagi sehingga 1956. Persaraan beliau dari jabatan kerajaan telah membolehkan beliau bergiat dalam politik. Setelah PAS ditubuhkan pada 1951, Dato’ Abu Samah tidak dapat menyertai PAS kerana kedudukannya sebagai pegawai kanan kerajaan, tetapi beliau menyertai PAS setelah bersara pada akhir 1952. Penubuhan PAS Cawangan Temerloh pada 22 Oktober 1955 adalah sebahagian daripada sumbangannya. Ekoran itu, beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 25 Disember 1956, setelah tidak lagi menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang. Beliau bergandingan dengan Dr Burhanuddin al-Helmy (Yang Dipertua Agung PAS) dan Prof Zulkifli Mohamad (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS), sebagai orang nombor tiga PAS. Jawatan ini dipegang dua kali sehingga beralih tangan kepada Ustaz Othman Abdullah pada 1958.

Penglibatan beliau kemudiannya berterusan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sehingga 1969. Walaupun menjadi pemimpin kanan PAS, Dato’ Abu Samah tidak menghadapi masalah untuk berbesan dengan Orangkaya Indera Shahbandar Dato’ Hussein Mohd Taib, ayah kepada Timbalan Presiden Umno, Tun Razak yang juga Timbalan Perdana Menteri. Anak beliau, Hamzah (Tan Sri Hamzah Abu Samah, bekas Menteri Undang-undang dan Peguam Negara) dinikahkan dengan Toh Puan Zaiton Dato’ Hussein, adik Tun Razak. Di samping itu juga, Dato’ Abu Samah telah dilantik pula sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang oleh Dr Burhanuddin al-Helmy sejak 1964 hingga 1969. Itulah jawatan terakhir beliau dalam PAS sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang keempat.

Dalam menghadapi perubahan politik pasca merdeka ini, Dato’ Abu Samah pernah beberapa kali bertanding dalam pilihan raya. Beliau menjadi calon PAS di DUN Sanggang (1959), DUN Chenor (1964) dan Parlimen Temerloh (1964), tetapi tewas di semua kerusi. Setelah lebih 15 tahun berkhidmat kepada perjuangan Islam, Dato’ Abu Samah telah jauh uzur dan beliau telah pergi menemui Allah pada 7 Oktober 1969, iaitu ketika politik negara sedang dilanda darurat akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Beliau meninggalkan tiga isteri dan Datin Pengiran Aminah Pengiran Kassim, Halimah Ali dan Jamilah Kilau, selain 14 orang anak daripada empat isterinya (seorang lagi isteri beliau ialah Aminah Gendut). Anak beliau yang paling terkenal ialah Tan Sri Hamzah Abu Samah, bekas menteri yang pernah menjadi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
14 Jamadil Akhir 1441 | 8 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 8/2/2020

- Advertisement -