Kepancitan dan teguran Syed Qutb

- Advertisement -

PENYAKIT putus asa

(1)     Kecewa dan putus asa merupakan penyakit jiwa yang menyerang sesiapa sahaja. Di dalam al-Quran ada menyebutkan larangan berputus asa, antaranya:

- Advertisement -



یَـٰبَنِیَّ ٱذۡهَبُوا۟ فَتَحَسَّسُوا۟ مِن یُوسُفَ وَأَخِیهِ وَلَا تَا۟یۡـَٔسُوا۟ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا یَا۟یۡـَٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ

“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.”

(Yusuf: 87)



a-     Ayat ini menceritakan pesanan Nabi Ya’qub AS kepada anak-anaknya (Bani Israel) untuk mencari maklumat tentang Nabi Yusuf A.S kerana merasakan Nabi Yusuf A.S itu masih hidup.

b-     Imam Qurtubi menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa putus asa itu adalah dosa besar. Bahkan secara zahirnya putus asa boleh membawa kepada isu aqidah.

Iaitu hilang kepercayaan terhadap kekuasaan Allah S.W.T. Sebab itulah putus asa merupakan penyakit jiwa yang bahaya, boleh merosakkan aqidah.

(2)     Di dalam Surah Zumar ayat 53 mengaitkan putus asa itu dengan kisah Musyrikin Makkah apabila mendengar dakwah Nabi S.A.W. Mereka seolah-olah putus asa apabila mendapati kejahatan mereka itu sangat banyak.

Justeru Allah S.W.T menjawab di dalam al Quran;



قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”



Kepancitan

(1)     Putus asa boleh dikaitkan dengan ‘kepancitan’ (فتور). Di dalam kitab آفات على الطريق karangan Sayyid Nuh meletakkan penyakit ini sebagai penyakit pertama yang ‘menjangkiti’ para du’at.

Beliau menyatakan bahawa kepancitan itu ada dua jenis

a-     Berhenti daripada kerja Islam

b-     Berhenti dan berpaling tadah

Beliau juga turut menyenaraikan faktor-faktor kepancitan. Antaranya ialah melampau dalam perkara-perkara yang bersifat ijtihadi. Tidak berlapang dada dengan perkara furu’.

(2)     Selain itu beliau juga menyenaraikan faktor kepancitan iaitu terlalu meringan-ringankan kewajipan dan tanggungjawab. Apabila diteliti, ramai ulamak gerakan Islam yang menyenaraikan kewajipan untuk ahli gerakan Islam.

Antaranya Fathi Yakan yang menyenaraikan sebanyak 23 kewajipan bagi ahli gerakan Islam. Antaranya;

a-     Bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.

b-     Menunaikan dengan tepat segala kata-kata dan janji dan jangan sekali-kali anda memungkirinya walaupun dalam keadaan paling sulit sekalipun.

c-     Bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab).

d-     Boleh membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa banyak mengulang-kaji subjek-subjek yang berkaitan. Seboleh-bolehnya hendaklah memiliki (perpustakaan) sendiri walaupun kecil.

e-     Sentiasa merasai diri berada di bawah pengawasan Allah S.W.T, mengingati hari akhirat dan bersedia untuknya, dan hendaklah mempertingkatkan perjalanan hidup ke peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredaan Allah dengan keazaman yang kuat.

f-     Janganlah membazirkan masa walaupun sedikit kepada perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang syubhah dan samar-samar hukumnya.

Bosan berjuang

(1)     Apabila meneliti beberapa kewajipan yang disenaraikan oleh Fathi Yakan kita akan dapati ia adalah vitamin yang meningkatkan daya juang seseorang.

Sebagai contoh, antara perangai yang ‘biasa’ dilakukan oleh ahli gerakan Islam ialah bekerja dan bermesyuarat siang dan malam sehingga ‘terlupa’ untuk mengkaji dan membaca.

Bahasa mudahnya, malas membaca. Membaca akhbar lebih digemari berbanding membaca buku, atau kajian ilmiah. Apatah lagi membaca dan mengkaji al-Quran.

(2)     Perkara ini kelihatan apabila mendapati Umat Islam kerap kali ditipu oleh musuh, sekalipun dengan strategi yang sama. Bahkan, para musuh sentiasa menyuntik ‘semangat berputus asa’ ke dalam ahli gerakan Islam.

a-     Antara suntikannya seperti mengatakan bahawa Islam itu sudah tiada harapan. Mereka dakwa, “Ya memang betul kita yakin Allah bagi kemenangan, tetapi untuk menang pilihan raya kita perlu kekalkan hubungan dengan DAP”.

Tak lama kemudian, orang yang menyuarakan hal ini beralih angin ke PAN. Ya, PAN dilihat menghimpunkan orang-orang yang ‘tersakiti’. Mereka tersuntik dengan virus putus asa.

b-     Seolah-olah sudah rasa ‘bosan’ dalam perjuangan yang panjang. Mereka dakwa PAS ketinggalan zaman penuh dengan kejumudan dan konservatif.

Mereka lihat PAS sudah tidak ada harapan untuk menang. Ini adalah suara-suara ahli bawahan mereka. Manakala kepimpinan mereka dilihat menjalankan agenda sebalik tabir

Muhasabah

(1)     Kadangkala bukan semua lontaran-lontaran mereka yang tidak duduk di semeja dengan kita ini sebagai salah. Kadangkala komen mereka itu betul. Tetapi kita sukar menerima teguran.

Justeru kita gagal memahami apa yang dibincangkan oleh musuh. Kegagalan ini menyebabkan hilangnya aspek ‘check and balance’ dalam sesebuah gerakan Islam.

Ya, kita selalu menceritakan tentang gerakan Islam dari aspek positif إيجابي. Bagaimana pula dari suduh negatifnya? Hal-hal ini telah ditegur oleh para Ulamak gerakan Islam.

a-     Syeikh Yusof al-Qaradawi contohnya mengarang kitab أين الخلل sebagai satu muhasabah buat gerakan Islam yang tesilap dalam memposisikan ahli-ahlinya.

Dalam bab ini, Sayyid Nuh turut mengetengahkan faktor kepancitan antara ialah ‘berada di posisi yang salah’. Posisi yang salah ini adakalanya mengundang kepada penyakit putus asa.

b-     Lihat pula kitab كي لا نمضي بعيدا عن احتياجات العصر memuhasabahkan gerakan Islam yang berada dalam kepompong masing-masing sahaja tanpa terjun ke lapangan masyarakat.

(2)     Para ahli gerakan Islam kadangkala sudah pancit dengan ‘paksaan’ atas nama ‘wala’. Disuruh menerima arahan dengan mata yang terpejam. Tidak dibenarkan berfikir atas alasan ‘pimpinan lebih tahu’.

Sebab itulah kepimpinan dan ahli kedua duanya wajib mengikuti program tarbiah bagi mengelakkan ‘miss understanding’ seperti ini. Sebab itulah elemen utama Liqa’ Fikri ialah menyelaraskan kefahaman

Jati diri

Perkara-perkara yang saya nyatakan tadi biasanya dilontarkan oleh mereka yang telah pancit. Di mana silapnya? Itulah yang diutarakan oleh Syeikh Yusof al-Qaradawi di dalam أين الخلل



قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.””

(Yusuf: 108)



(1)     Imam Qurtubi menafsirkan perkataan على بصيرة dengan bermaksud ‘di atas keyakinan dan kebenaran’. Ibnu Kathir pula menyatakan ‘di atas keyakinan dan bukti’.

(2)     Syed Qutb menghuraikan ayat ini dengan menyatakan;

“Para pendakwah kepada Allah hendaklah melakukan pembezaan ini. Mereka hendaklah mengumumkan bahawa mereka adalah satu ummat yang tersendiri dan terpisah daripada orang-orang yang tidak berpegang dengan aqidah”

“Iaitu tidak menjadi pak turut mereka, tidak mengikut kepimpinan mereka, mereka mengambil haluan yang bersendirian, dan tidak bercampur aduk dengan mereka.”

“Para pendakwah agama ini tidak cukup  dengan hanya menyeru manusia kepada agama Allah, sedangkan mereka masih  bergelumang di dalam masyarakat jahiliyyah”.

“Ini kerana dakwah yang seperti ini tidak membawa kepada sesuatu hasil yang bernilai, malah sejak hari yang pertama lagi mereka harus mengisytiharkan bahawa mereka adalah berlainan dari golongan jahiliyyah.”

“Mereka harus membezakan diri mereka dari masyarakat jahiliyyah dan seterusnya membezakan kepimpinan mereka dari kepimpinan jahiliyyah.”

a-     Secara ringkasnya, beliau mengatakan ayat ini menggesa supaya para pendakwah perlu ada jati diri. Tidak tertiru dan tidak terkesan dengan kerosakan masyarakat.

b-     Seolah-olah Allah S.W.T menyuruh Nabi S.A.W berkata ‘ini jalanku, sesiapa yang suka boleh ikut, sesiapa yang tak suka, aku akan jalan terus di atas jalan ini. Tidak terhegeh-hegeh untuk meraih pengaruh’

Playsafe

(1)     Syed Qutb menyatakan lagi “Hakikat ini bukan hanya terserlah dalam bidang dakwah para Nabi di dalam masyarakat-masyarakat kaum Musyrikin sahaja, malah terserlah dalam bidang dakwah umumnya”

(2)     Berdasarkan ayat 108 Surah Yusof juga, Syed Qutb menyatakan bahawa:

“Para pendakwah ada yang menyangka bahawa  mereka boleh mencapai sesuatu hasil yang baik dengan cara sama-sama bergelumang dan hanyut di dalam masyarakat jahiliyyah dan pertubuhan pertubuhannya”

“Iaitu menerusi penyusupan secara halus ke dalam masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan jahiliyyah untuk berdakwah kepada Islam. Maka mereka adalah orang-orang yang tidak memahami tabiat agama ini dan caranya untuk mengetuk pintu hati manusia”.

(3)     Beberapa tegurannya terhadap pendakwah yang bersikap playsafe, kononnya untuk mudah dan selesa menyampaikan Islam. Hakikatnya kaedah ini bukanlah kebiasaan para Nabi terdahulu.

Seolah-olah penulisan beliau ini melangkaui zaman. Kita melihat realitinya hari ini. Golongan yang bergelumang dalam najis Liberal dengan alasan nak berdakwah.

Ini kerana, bentuk playsafe inilah yang membawa kepada kepancitan dan putus asa sepertimana yang diperingatkan oleh Sayyid Nuh, yang saya utarakan sebelum ini.

(4)     Sebab itulah saya tak pelik apabila nama Syed Qutb dikecam oleh ‘orang-orang kerajaan’ hari ini senada dengan RAND Corporation yang merupakan agenda Amerika. – HARAKAHDAILY 24/11/2019

- Advertisement -