Berani DAP sendirian tanpa parti politik Melayu?

KENAPA Pemuda PAS Selangor mencabar DAP untuk bersendirian?
 
Matlamat DAP untuk mencapai kemenangan hanya akan berjaya dengan mempergunakan imej melayu menerusi parti-parti Melayu yang bekerjasama atau bergabung dengannya. Tanpa imej melayu, DAP akan mengalami kesukaran nak mencapai kemenangan. Sebab itu tidak pelik, DAP bersungguh-sungguh nak membuktikan partinya tidak rasis dan menyantuni kaum Melayu. 
 
Sedangkan ideologi perjuangan mereka adalah sebaliknya. Sikap dan pendirian DAP menunjukkan mereka sentiasa mencabar hak-hak dan kepentingan orang Melayu yang termaktub malah membelakangi Perlembagaan dengan slogan Malaysian Malaysia. 
 
Secara halus mereka mahu mengubah sejarah Malaysia dengan membatalkan Kontrak Sosial yang dimeterai dalam penerimaan kaum selain Melayu di negara ini dengan mewujudkan keharmonian sejagat. 
 
Langkah pemimpin DAP menunjukkan sikap mereka dalam berpolitik adalah dengan politik cauvinis. DAP tahu tanpa kuasa matlamat perancangan mereka tidak akan berjaya. Kuasa yang dicapai hanya menguntungkan perjuangan politik cauvinis walau perlu mengorbankan hak ummah dan mengancam institusi agama, beraja dan kestabilan politik yang berasaskan majoriti kaum teras Melayu. 
 
Jika mereka tetap dengan politik sedemikian, sewajarnya bertanding dalam PRU secara bersendirian agar rakyat menilai sendirian sikap mereka tanpa bertopengkan imej Melayu menerusi kerjasama dengan parti politik Melayu yang lain. 
 
Kita akui strategi DAP untuk menang dalam PRU adalah mesti mendapat sokongan dari kaum Melayu. Ini realiti dan DAP tahu hal ini. 
 
Pemuda PAS Selangor ingin menyeru kepada semua pengundi Melayu untuk bangkit kembali menyedari perkara ini. Sebagai kaum majoriti di negara ini dengan peratus 68 peratus dari komposisi kaum yang ada menunjukkan kaum melayu ada kekuatan sebagai penjaga kestabilan politik negara. 
 
Namun yang menyedihkan apabila kita sesama kaum Melayu khususnya masih bertelagah sehinggakan ada yang bertikam di dalam gelanggang orang melayu sendiri. Kita lihat senario sebegini hanya menguntung DAP sahaja. DAP berani ‘berjudi’ namun orang Melayu yang menjadi ‘mangsa berlumuran darah sesama ummah’. 
 
Persoalan mengenai kenapa PAS bersama dengan Umno, perlu dilihat kepada prinsip perjuangan dan dasarnya. 
 
Strategi dalam taawun siyasi ini jelas, kesatuan dan perpaduan yang dibina atas dasar rukun agama dan kesepakatan kepentingan agama. 
 
Lantaran itu, PAS secara dasarnya bertanggungjawab dengan menyeru dan membawa bersama-sama semua parti politik melayu dan muslim untuk bersama-sama dalam agenda mempertahankan kedaulatan Islam dan negara. 
 
Itulah asasnya dalam apa jua strategi yang dirangka. Apa sahaja yang membawa kepada kepentingan Islam maka itulah kepentingan bagi PAS dalam memperjuangkannya.
 
Siapa sahaja yang mahu dan telah bekerjasama dengan PAS akan memahami pendirian PAS yang dinyatakan secara jelas tanpa berselindung. Pendirian ini menjadi kayu ukur siapa yang mahu bersama PAS demi kepentingan Islam dan siapa yang meninggalkan PAS demi kepentingan selain Islam. 
 
Persoalannya, PAN dan PKR adakah bersama DAP mendokong perjuangan Cauvinis? Ataupun sehingga tahap menjadi balaci DAP? 
 
Di antara persoalan dalam mencabar DAP untuk bersendirian dalam PRU15 dan juga persepakatan PAS bersama parti politik lain dalam menentang DAP, maka inilah jawapan saya!
 
“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
6 ZulHijjah 1440H / 7 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 8/8/2019
Advertisement