Akta Anti Lompat Parti perlu disegerakan

- Advertisement -

SATU peristiwa bersejarah dalam politik tanah air telah berlaku apabila kita menyaksikan kepimpinan Umno Sabah bertindak keluar parti beramai-ramai apabila sembilan daripada 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sabah meninggalkan Umno. Lima daripada enam ahli Parlimen dan dua Senator juga merupakan antara yang keluar parti. Ini tidak termasuk 21 daripada 25 orang Ketua Bahagian yang bertindak sedemikian.

- Advertisement -

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius perkembangan politik di Sabah, terutama tindakan Ahli Parlimen dan Adun yang melompat parti secara beramai-ramai. Memang benar, setiap individu tersebut mempunyai hak masing-masing untuk menentukan wadah perjuangan mereka. Sehingga hari ini, tiada mana-mana parti politik termasuk Umno yang boleh menghalang wakil rakyat melompat parti atau menjadi bebas berdasarkan perundangan negara.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa wakil-wakil rakyat di pihak Gagasan Sejahtera (PAS) untuk mengusulkan akta “Anti Lompat Parti” secepat mungkin agar mana-mana wakil rakyat yang melompat parti atau keluar parti menjadi wakil bebas, kerusi yang ditandingi tersebut mesti dikosongkan bagi membolehkan rakyat memilih semula.

Walaupun tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang sekarang, namun tindakan keluar parti tanpa mengosongkan kerusi bagaikan tindakan mengkhianati amanah rakyat, mengkhianati perjanjian parti, dan mengkhianati keyakinan pengundi di kawasan mereka. Pemimpin seharusnya sedar bahawa kemenangan mereka semasa pilihan raya adalah disebabkan oleh jentera parti, khidmat ahli-ahli parti akar umbi, manifesto parti dan kesepakatan antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti yang mendukung calon-calon parti di setiap Parlimen atau Dun.

Tahniah diucapkan kepada seluruh Ahli Parlimen dan Adun PAS yang tidak langsung terpalit dengan isu sebegini. Rakyat memerhati dan melihat bahawa Ahli Parlimen dan Adun PAS merupakan pemimpin yang berintegriti serta menjalankan amanah rakyat dan parti dengan sebulat hati.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap tindakan sebegini harus diberhentikan agar proses demokrasi terus subur. Rakyat telah memilih pada PRU-14. Seharusnya setiap wakil rakyat bekerja keras sehingga PRU-15 dan tidak terbabit di dalam sebarang percaturan politik untuk menentukan mana-mana individu terus berkuasa atau menghalang mana-mana individu mendapat kuasa di peringkat tertinggi dalam negara kita.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
merangkap
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera – HARAKAHDAILY 13/12/2018

- Advertisement -