Belajar dari PAS erti integriti, bebas rasuah

- Advertisement -

PENDEDAHAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan di Parlimen semalam bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 92 ahli politik dari kerajaan BN dan pembangkang (Pakatan Harapan) kerana terlibat dengan rasuah antara tahun 2013-2017 adalah statistik yang begitu membimbangkan.

- Advertisement -

Semestinya angka yang dibentangkan oleh Datuk Paul Low Seng Kuan merencatkan kehangatan iklim politik negara yang sedang di ambang Pilihan Raya Umum ke 14. Rakyat yang berkira-kira mahu membuang undi dengan meletakkan harapan kepada parti-parti politik merasa resah, marah, bimbang bahkan meluat terhadap kesemua parti politik kerana tiada pemimpin parti politik yang dilihat benar-benar bersih dari kesan rasuah. Lihatlah dengan angka 71 orang pemimpin politik dari Barisan Nasional (BN) dan 21 pemimpin dari Pakatan Harapan, menandakan parti-parti politik ini tidak boleh dipercayai. Kesannya, rakyat tidak percaya lagi dengan parti politik malah dengan suasana politik negara. Bagi mereka sama ada kerajaan BN mahupun PH, kedua-dua belah pihak memiliki rekod yang tidak bersih. Tidak memeranjatkan jika pengundi mengambil sikap tidak mahu turun mengundi kerana menganggap kesemua parti politik sama dan tidak boleh dipercayai lagi.

Dalam hal ini, hanya PAS satu-satunya parti yang tidak dipalitkan dengan kes rasuah. PAS memimpin Kelantan sejak 1990, dan sering dicemuh, sehingga akhir-akhir ini banyak pendedahan kononnya mengenai salah urus tadbir, penyelewengan, korupsi, rasuah dan lain-lain yang melibatkan kerajaan Negeri Kelantan dan agensi-agensinya. Malangnya, kesemua dakwaan itu hanya sekadar dakwaan sedangkan angka dan faktanya, pemimpin PAS di mana-mana peringkat masih bebas dari rasuah.

Jika hendak dibandingkan dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, Selangor dan Pulau Pinang yang baru berusia 10 tahun (sejak 2008), tetapi telah 21 tangkapan atau siasatan dibuat. Ia melibatkan pelbagai kes dari Exco Kerajaan Negeri sehinggalah ke peringkat Ketua Menteri. PAS pula telah memimpin Kelantan selama 28 tahun, tetapi pemimpinnya sangat bersih dan berintegriti. Data daripada SPRM ini boleh menjadi bukti dan saksi bahawa sifat kepimpinan PAS yang berpandukan Islam dan sentiasa amanah dalam pemerintahan. Justeru dakwaan PAS menerima ‘dedak’ dari Umno, menerima habuan tertentu dengan nilai jutaan ringgit adalah tuduhan tanpa asas.

Apa yang hendak dibanggakan dengan slogan perjuangan keadilan atau kerajaan bersih oleh Pakatan Harapan (PH) yang bersungguh mahu merampas Putrajaya jika sebelum menang dan membentuk kerajaan persekutuan pun, pemimpin dan kerajaan negeri mereka sudah banyak terpalit dengan rasuah. Bayangkan jika mereka memerintah kelak, apakah PH boleh menjadi lebih baik dari BN atau mereka adalah sama atau mungkin PH lebih teruk lagi?

Saya nasihatkan pemimpin PH dan BN agar banyak bermuhasabah terhadap diri mereka. Jangan terlalu kemaruk mendapat kuasa sehingga lupa diri mereka yang masih bergelumang dengan tahi dan najis rasuah. Belajarlah dari kepimpinan PAS soal pemerintahan adil, bersih, telus dan amanah. Bersihkan hati dalam politik sebelum bercita-cita tinggi menawan puncak Putrajaya, kerana kelak ujian dan godaannya lebih besar.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/3/2018

- Advertisement -