
ARAU: Ustaz Mohd Ridzuan Hashim memberitahu beliau acap ditegur Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini kerana sering membangkit isu-isu rakyat.
Penyandang DUN Guar Sanji itu berkata, beliau tetap bertanya soalan yang sama berulang kali selagi tiada tindakan daripada kerajaan negeri.
“Saya selalu ditegur oleh Speaker DUN kerana sering membangkitkan isu yang sama. Saya dipilih oleh rakyat untuk bertanya dan memohon penjelasan apabila ada isu berkaitan rakyat.
“Selagi mana perkara berbangkit belum selesai, saya akan bangkit walaupun 100 kali. Kita perjuangkan hak rakyat.
“Namun kelemahan dalam kalangan Exco pada penggal lepas menyebabkan Perlis terkebelakang dan tercorot,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Pentas Calon Anak Muda di sini malam tadi.
Menurutnya juga keadaan itu berbeza dengan kerajaan negeri Kedah yang berjaya menarik ramai pelabur selepas era pandemik Covid-19.
Kata beliau kerajaan PERIKATAN NASIONAL yang mentadbir Kedah biarpun baharu dua tahun, namun jauh lebih cemerlang berbanding negeri Perlis.
“Ini menggambarkan kerajaan PN Kedah lebih telus, cekap dan mesra rakyat dan pelabur menyebabkan pelabur berminat melabur sehingga memberi manfaat,” ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau berbeza di Perlis di mana beberapa projek yang telah dirasmikan, namun akhirnya terpaksa dibatalkan.
Mohd Ridzuan juga berkata, Parlimen Arau merupakan kawasan ilmu di mana terdapat pelbagai institusi pengajian tinggi di situ.
“Di Arau ada Kolej Komuniti, Universiti Teknologi Mara, Politeknik dan sebagainya sebab itu Arau lebih dikenali dengan bandar ilmu.
“Tetapi apa yang kita lihat, ilmu yang ada dalam institusi pengajian itu, tidak sampai ke luar, kemahiran dan kepakaran tidak dikongsi dengan penduduk sekitar,” katanya.
Oleh itu katanya, sekiranya rakyat memberi mandat kepada PERIKATAN NASIONAL mentadbir Perlis pada Sabtu ini pelbagai perubahan dapat dilakukan.
Turut hadir pada ceramah tersebut calon PERIKATN NASIONAL DUN Beseri, Haziq Asyraf; calon DUN Kayang Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil dan calon DUN Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak. – HARAKAHDAILY 14/11/2022











