
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan akan tetap kekal bersama Perikatan Nasional (PN), demikian tegas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa.
Beliau sehubungan itu meminta seluruh jentera menerima keputusan kepimpinan tertinggi berhubung pembahagian kerusi dan pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Peringat beliau, semua ahli dan petugas perlu terus berpegang kepada disiplin jamaah serta akur terhadap setiap keputusan yang dibuat di peringkat Pusat dan negeri.
“Hari ini ramai yang bertanya hala tuju PAS Negeri Sembilan dan sama ada kita masih bersama Perikatan Nasional atau sebaliknya.
“Saya pakai baju Perikatan Nasional malam ini untuk menunjukkan bahawa kita masih berada dalam Perikatan Nasional dan pengerusi kita masih lagi pengerusi yang sah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum ‘Nismilan Kito Tawan’ serta perasmian logo PN, di sini semalam.
Menurut beliau, PAS sebagai sebuah gerakan tarbiah sentiasa menekankan kepatuhan kepada keputusan pimpinan demi memastikan kekuatan organisasi terus terpelihara.
Sehubungan itu katanya, seluruh jentera perlu bersedia menerima sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi dan calon yang akan diumumkan oleh kepimpinan tertinggi parti.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua petugas mempergiat persiapan menghadapi PRN susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Katanya, setiap kawasan perlu memastikan bilik operasi dan bilik gerakan dibuka selain mengibarkan panji parti dan PN sebagai tanda kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.
“Jangan kita berhenti walaupun kemungkinan besar tempat yang kita nak bertanding itu tidak jadi bertanding. Gerak kerja tetap berjalan kerana kita bergerak bukan hanya kerana pilihan raya.
“Dakwah kita adalah dakwah yang berterusan. Bukan apabila tiba pilihan raya kita turun menyantuni masyarakat, tetapi apabila pilihan raya selesai masyarakat ditinggalkan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan petugas supaya meneruskan program kebajikan dan kerja menyantuni masyarakat tanpa mengira kawasan yang bakal ditandingi.
Pada masa sama, beliau menggesa semua petugas berkempen secara berhemah serta mengelakkan perdebatan yang boleh menjejaskan imej parti.
“Pendekatan berhikmah perlu dijadikan asas dalam menyampaikan mesej perjuangan kepada masyarakat agar lebih mudah diterima oleh pengundi,” tegasnya.
Mohd Firuz turut mengaitkan sambutan Tahun Baharu Hijrah 1448H dengan keperluan melakukan muhasabah dan memperbaharui azam dalam perjuangan Islam serta khidmat kepada masyarakat.
Menurutnya, umat Islam perlu bersatu dan mengelakkan perpecahan kerana kekuatan umat hanya dapat diperkasakan melalui kesatuan yang kukuh. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











