
KANGAR: Kerajaan Negeri disarankan menubuhkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kawasan Padang Besar berikutan mempunyai potensi ekonomi, pelancongan, perdagangan dan logistik yang sangat besar.
Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) berkata, Padang Besar merupakan pintu masuk utama antara Malaysia dan negara jiran, Thailand dan bukannya pekan sempadan biasa sebelum ini.
“Jika melihat kepada perkembangan semasa, Padang Besar kini mempunyai pelbagai aset strategik seperti Kompleks ICQS Padang Besar, Stesen Keretapi Antarabangsa dan Arked Niaga.
“Malah di kawasan Padang Besar, terletaknya kawasan Perindustrian Chuping Valley Industrial Area (CVIA), laluan perdagangan rentas sempadan Malaysia-Thailand dan Pusat pertanian serta agromakanan negeri,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengambil bahagian pada ucapan perbahasan sempena Sidang DUN Perlis, Khamis lalu.
Katanya lagi, semua perkembangan itu memerlukan satu sistem pentadbiran tempatan yang lebih fokus, tersusun dan responsif terhadap keperluan masyarakat setempat.
Beliau turut menegaskan, penubuhan PBT Padang Besar akan membolehkan perancangan pembangunan yang lebih khusus terutama melibatkan kawasan sempadan.
Sedangkan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sendiri katanya, mempunyai tanggungjawab dengan keluasan kawasan pentadbiran agak besar menyebabkan banyak keutamaan pembangunan perlu dibahagikan kepada kawasan lain di seluruh negeri.
“Sekiranya PBT di Padang Besar diwujudkan bukan sahaja perancangan pembangunan boleh dibuat secara khusus, malah penyelenggaraan infrastruktur juga boleh dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Termasuk juga pengurusan kebersihan bandar yang lebih sistematik. Pembangunan ekonomi tempatan yang lebih agresif dan boleh menyelesaikan aduan rakyat dengan lebih pantas,” tambah beliau.
Ketua Pemuda PAS Perlis itu juga menjelaskan bahawa penubuhan PBT di kawasan tersebut sebagai salah satu usaha untuk memajukan Zon Ekonomi Utara Perlis.
Malah tegas beliau, perkara itu disebut oleh Tuanku Raja Perlis pada titah ucapannya di mana Zon Ekonomi Utara Perlis mampu dijadikan umpama Dubai Kedua.
Cadangan tersebut juga ujarnya, dilihat rasional kerana pembangunan CVIA, projek tenaga hijau dan sektor logistik yang menjadi tumpuan Kerajaan Negeri ketika ini.
Hal tersebut juga katanya, secara tidak langsung bakal menjadikan Padang Besar sebagai menjadi pintu utama pelaburan di utara negeri itu.
“Justeru, sebuah PBT yang mempunyai fokus khusus terhadap pembangunan sempadan mampu menjadi pemudah cara kepada pelabur serta mempercepatkan proses pembangunan ekonomi.
“Kita tidak mahu peluang pelaburan yang besar ini terlepas hanya kerana kekangan pentadbiran atau kelewatan proses kelulusan,” kata beliau.
Menurutnya lagi, Padang Besar menerima jutaan pengunjung setiap tahun sama ada dari dalam negara mahupun dari negara jiran Thailand.
Oleh itu katanya, beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri bagi penambahbaikan sejajar dengan usaha memperkasakan pelancongan sempadan.
Antaranya cadang beliau, dari aspek landskap bandar, kemudahan pelancong, sistem parkir, kebersihan bandar, promosi pelancongan dan infrastruktur penjaja serta peniaga.
Tambah beliau, sekira PBT Padang Besar diwujudkan, ia boleh memainkan peranan utama dalam menjadikan bandar sempadan ini lebih tersusun, menarik dan kompetitif berbanding bandar-bandar sempadan lain di rantau ini.
Selain itu Haziq juga berpandangan, Padang Besar juga sesuai dijadikan model bandar sempadan pintar apabila mempunyai PBT-nya sendiri.
“Dengan adanya PBT sendiri, pelbagai inisiatif boleh diperkenalkan seperti sistem aduan digital bersepadu, pemantauan bandar menggunakan teknologi pintar, sistem parkir pintar dan pengurusan sisa pepejal yang lebih moden.
“Perkhidmatan kerajaan tempatan secara digital ini adalah selaras dengan aspirasi Perlis sebagai negeri yang progresif dan berdaya saing,” ulas beliau lagi.
Dalam pada itu tegasnya, cadangan penubuhan PBT Padang Besar juga bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi ia dilihat mampu meningkatkan kutipan hasil negeri melalui lesen perniagaan dan cukai taksiran.
Di samping itu kata beliau juga, aktiviti perdagangan sempadan juga akan berkembang dengan penambahan pelaburan baharu serta pelancongan di mana hasil tersebut dapat dikecap rakyat dalam masa jangka panjang.
“Saya yakin, dengan perancangan yang teliti, Padang Besar mampu muncul sebagai bandar sempadan antarabangsa yang maju, tersusun dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri Perlis.
“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, kalau tidak dirancang dari sekarang, sukar dicapai kemajuan yang dicita-citakan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











